WWF-Malaysia, Tanoti tandatangani MoA bangun produk hutan bukan kayu

KERJASAMA: Dr Dionysus (dua kiri) bertukar-tukar MoA yang ditandatangani
dengan Jacqueline (dua kanan) manakala Jason (kiri) dan Dr June (kanan)
menyaksikan pertukaran dokumen itu di Kuching, semalam.

KERJASAMA: Dr Dionysus (dua kiri) bertukar-tukar MoA yang ditandatangani dengan Jacqueline (dua kanan) manakala Jason (kiri) dan Dr June (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen itu di Kuching, semalam.

KUCHING: World Wild Fund for Nature – Malaysia (WWF-Malaysia) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan perusahaan sosial Tanoti Sdn Bhd (Tanoti) yang bertujuan untuk menggalak serta membangunkan produk-produk hutan bukan berasaskan kayu dalam kawasan Kubaan-Puak di Ulu Tutoh, Miri.

Skop kerjasama dua tahun itu meliputi aktiviti latihan dan bengkel, pemasaran produk hutan bukan kayu, program kesedaran dan bertukar-tukar maklumat yang dianggap memberi manfaat bagi kedua-dua belah pihak.

Menurut Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Dionysus Sharma, masyarakat Penan akan dibantu dalam pengurusan hutan Kubaan-Puak bagi membangunkan kraf tangan, mewujudkan hubungan pasaran dan membangunkan keusahawanan bagi produk kraf tangan rotan.

“Mereka berupaya menjana pendapatan yang boleh dimanfaatkan dalam tempoh yang panjang.

“WWF-Malaysia mempunyai kekuatan teknikal yang kuat dalam usaha memulihara hutan, tetapi kita tidak mempunyai kepakaran dalam pemasaran produk kraf tangan hutan dan pembangunan keusahawanan.

“Di sinilah kepakaran pemasaran Tanoti diperlukan. Tanoti akan membantu pembinaan keupayaan, pembangunan masyarakat tempatan untuk menghasilkan kraf tangan, mengenal pasti pasaran produk tersebut.

“Kawalan kualiti produk-produk ini termasuk memantau kemahiran dan kecekapan dalam pengeluaran juga akan dijalankan oleh Tanoti sendiri,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) WWF dengan Tanoti di sini, semalam.

Dr Dionysus menegaskan bahawa pemuliharaan bukan sekadar untuk spesies flora dan fauna yang berbeza, tetapi juga keunikan rakyat, alam sekitar dan kehidupan mereka yang mana terdapat kemandirian dalam aktiviti kebudayaan selama yang mereka mahukan.

“Daripada perkara penggunaan harian, ia boleh bertukar menjadi kraf atau karya seni yang orang lain inginkan sebagai himpunan peribadi, yang membolehkan produk-produk ini mempunyai nilai untuk wang.

“Ini membuka peluang kepada masyarakat itu untuk mempunyai kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Tanoti Jacqueline Fong menjelaskan bahawa melalui kerjasama itu, diharapkan kehidupan masyarakat yang mendiami hutan negeri ini akan meningkat.

“Tanoti memberi perhatian kepada nilai kraf tangan untuk meningkatkan kehidupan mereka sebagai mata pencarian.

“Selain daripada perniagaan teras kami iaitu tenunan songket, kami juga membangunkan inisiatif komuniti kami dalam kraf rotan kerana kami menyedari kepentingan memelihara hutan kita demi mempunyai persekitaran yang menyenangkan dan untuk memastikan bahawa masyarakat hutan terus mendapat akses kepada banyak sumber penting ini.

“Objektif kami adalah untuk menyuntik elemen-elemen kritikal reka bentuk, kawalan kualiti dan pemasaran dalam produk kraf masyarakat Kubaan-Puak dan merealisasikan pendapatan yang berdaya maju untuk pembuat kraf dan keluarga mereka,” katanya.

Beliau berharap dua tahun MoA tersebut boleh dilanjutkan untuk tempoh yang lebih lama untuk faedah jangka panjang bagi komuniti yang terlibat.

Turut hadir pada majlis menandatangani MOA itu yang memimpin program WWF-Malaysia Sarawak Dr Jason Hon dan Profesor Madya Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS Dr June Ngo, yang akan membantu dalam meningkatkan kemahiran masyarakat untuk nilai yang lebih tinggi yang akan diekstrak daripada produk kraf mereka.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/26/wwf-malaysia-tanoti-tandatangani-moa-bangun-produk-hutan-bukan-kayu/