Wireless Walk buka peluang niaga golongan muda

Ramai graduan kolej, universiti buka gerai makanan dan minuman dapat sambutan menggalakkan

// Oleh Steve Annuar //

KENANGAN: (Duduk dari kiri) Samad, Adam, Sebastian, Datuk Ibrahim,
Julani, Kaunselor Razak Joni dan Siti bergambar dengan peniaga WW sebelum
majlis berbuka puasa petang kelmarin.

KENANGAN: (Duduk dari kiri) Samad, Adam, Sebastian, Datuk Ibrahim, Julani, Kaunselor Razak Joni dan Siti bergambar dengan peniaga WW sebelum majlis berbuka puasa petang kelmarin.

MIRI: Pembukaan koridor perniagaan baharu, Wireless Walk (WW) di Jalan North Yu Seng berjaya menarik penyertaan ramai golongan muda termasuk graduan baharu tamat pengajian di sini mencuba nasib mereka dalam perniagaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting gembira dengan perkembangan positif itu dan mahu mereka diberikan galakan serta sokongan.

Ramai graduan kolej dan universiti membuka gerai makanan dan minuman di WW mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

“Golongan ini harus diberi galakan. Saya menyokong usaha. Saya beritahu mereka jika kita jatuh, kita harus bangkit semula.

“Jika gagal jangan risau. Dengan usaha kita pasti akan berjaya,” jelasnya menemui peniaga WW semasa majlis berbuka puasa petang kelmrin.

Ting yang juga Pengerusi SUPP Piasau berkata, kepada golongan muda yang berminat berniaga, Ting berkata, mereka harus menyimpan minat mendalam, memiliki sikap sabar berdepan cabaran dan saingan.

Selain itu, mereka harus berfikiran positif dan menjadikan pengalaman sebagai perjalanan mereka untuk matang.

“Dalam perniagaan sememangnya ada untung dan rugi. Tetapi ramai akan cuba dan terus mencuba. Akhirnya mereka berjaya.

“Ia bergantung kepada kesungguhan anda. Lebih banyak anda mencuba, maka lebih banyak anda akan belajar dari pengalaman,” jelasnya.

Mengulas tentang potensi WW, Ting menyokong usaha membangunkan kawasan perniagaan itu yang semakin dikenali oleh penduduk luar Miri membeli juadah tempatan dari pelbagai jenis gerai jualan yang didirikan di sepanjang koridor.

Selain strategik, persekitaran WW juga sesuai sebagai tempat relaks bersama rakan dan keluarga menjamu selera.

Dengan perancangan teliti, Ting yakin, kawasan koridor Jalan North Yu Seng akan menjadi pusat tarikan utama di pusat bandar raya, sekali gus mendapatkan pendapatan lumayan kepada peniaga.

Sehingga kini, seramai 56 peniaga dibenarkan berniaga secara sementara di WW yang beroperasi bermula jam 5 petang hingga tengah malam.

Dalam pada itu, aktiviti berbuka puasa kelmarin dianjurkan oleh peniaga WW Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri.

Hadir sama ialah Pengerusi DUBS Miri, Abdul Samad Mohd Ali, Timbalan Pengerusi, Julani Mokhtar, Penasihat, Datuk Ibrahim Ahmad Darvesh Mohd Deen, Pengerusi SUPP Pujut, Adam Yii dan Pengerusi Protem Jawatankuasa Projek WW, Siti Hawa Sharkawi.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/24/wireless-walk-buka-peluang-niaga-golongan-muda/