Warga Miri dipelawa beri penghormatan terakhir kepada Adenan hingga 17 Jan

MIRI: Orang awam di sekitar bandar raya ini yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem adalah dipelawa berbuat demikian di Dataran Kipas Miri.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii berkata, orang awam boleh menyalakan lilin atau membawa bunga dan meletakkannya di tempat yang telah ditetapkan.

“Ini adalah sebagai tanda penghormatan kepada Adenan yang banyak berjuang dan berjasa bukan sahaja kepada rakyat, malah Sarawak secara amnya.

“Beliau bukan sahaja disegani tetapi banyak memberi kita harapan dan apa pun yang ditinggalkan kepada kita amat memberi kesan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyalakan lilin serta meletakkan bunga di Dataran Kipas Miri di sini malam kelmarin (Khamis).

Menurut Yii, ia merupakan inisiatif daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai tanda penghormatan dan luahan rasa kesedihan atas pemergian Adenan yang amat mengejutkan itu.

“Ini sebagai tanda kita untuk memperingati sumbangan dan jasa beliau kepada rakyat berbilang kaum di sini.

“Diharapkan warga Miri boleh bersama memberi penghormatan tersebut kepada beliau dengan menyalakan lilin atau meletakkan bunga berkenaan.

“Ini juga tanda kita terus bersatu hati walaupun berlainan latar belakang, demi menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh beliau kepada negeri Sarawak yang dicintai,” katanya.

Tambah Yii, masyarakat setempat yang ingin memberi penghormatan terbabit boleh berbuat demikian pada setiap malam sehingga malam Selasa (17 Januari) ini.

Sementara itu, lebih 100 warga Miri bersama menyalakan lilin berkenaan bermula sekitar jam 8 malam kelmarin.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/13/warga-miri-dipelawa-beri-penghormatan-terakhir-kepada-adenan-hingga-17-jan/