Warga emas terselamat dalam kebakaran kedai

MIRI: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun terselamat dalam satu kejadian kebakaran bangunan kedai di Bandar Baru Permyjaya Miri kira-kira jam 12.56 tengah malam semalam.

Penguasa Kanan Bomba 1 Zon 6, Law Poh Kiong ketika berada di lokasi kejadian berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 12.56 tengah malam.

Kita berjaya membawa keluar seorang wanita warga emas yang tinggal dalam bangunan itu dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Law berkata, pihak bomba diketuai Penguasa Kanan Bomba II, Henry Jugah dari Balai Bomba Lopeng bersama 17 anggota telah berjaya mengawal kebakaran.

Menurutnya, hampir 80 peratus kedai berkenaan musnah dan bomba berjaya memadam api sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudiannya.

Punca kebakaran itu masih dalam siasatan pihak bomba.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/03/22/warga-emas-terselamat-dalam-kebakaran-kedai/