Warga emas mengaku tidak bersalah tipu wanita keluar wang simpanan

MIRI: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pagi semalam terhadap dua tuduhan menipu seorang wanita dalam urusan mendapatkan bantuan kewangan Persatuan Ibu Tunggal Cawangan Miri (PITCM).

Ismail Jalel, 58, dari Kampung Pejuang Kelulit, Sibuti telah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh didapati menipu Saidah Ruji, 63, dengan memperdaya mangsa supaya mempercayai bahawa dia (tertuduh) boleh membantunya mendapatkan bantuan kewangan RM50,000 dari PITCM dan mendorong mangsa mengeluar wang simpanan RM7,000 daripada akaunya dan kemudian diserahkan kepada tertuduh dengan alasan bagi menunjukkan baki wang sedikit dalam akaun mangsa bertujuan meraih simpati PITCM.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lain yang masih bebas pada jam 12 tengah hari, 14 Jun 2006 di sebuah bank di Pusat Komersil Boulevard di sini.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh sekali lagi telah mengulangi perbuatan serupa terhadap mangsa sama, dengan mendorong mangsa mengeluarkan wang RM25,000 dari akaunnya dan diserahkan kepada tertuduh bagi menunjukkan baki wang sedikit dalam akaunnya untuk meraih simpati pihak PITCM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 12.30 tengah hari, 14 Jun 2006 di sebuah bank di Jalan Bendahara di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 28 Mei ini untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenar dibebas dengan jaminan RM3,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/05/15/warga-emas-mengaku-tidak-bersalah-tipu-wanita-keluar-wang-simpanan/