Warga Britain meninggal dunia selepas mengadu tidak sihat ketika kuarantin

MIRI: Seorang warga Britain dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu tidak sihat ketika menjalani kuarantin di sebuah hotel, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata Thomas Holmes, 48, meninggal dunia kira-kira jam 3.30 petang di Bahagian Kecemasan, Hospital Miri.

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Miri menggunakan ambulans selepas mengadu tidak sihat kepada anggota Medic Shell yang turut berada di hotel itu.

“Ujian calitan COVID-19 telah dilakukan ke atas mangsa pada tarikh kematian dan disahkan negatif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat akan dilakukan terhadap mayat Holmes dalam masa terdekat.

Mangsa yang juga seorang pengurus projek sebuah syarikat, tiba di Miri dari Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu atas urusan kerja dan ditempatkan di hotel itu untuk kuarantin selama sembilan hari.

Seorang pengurus syarikat itu yang berusia 40 tahun, membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri pada jam 4.49 petang tadi selepas dimaklumkan ketuanya dari ibu pejabat di Kuala Lumpur mengenai kematian Holmes kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu.

Meng Seah berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, setakat ini. – BERNAMA

Lagi berita mengenai COVID-19

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/06/700708/warga-britain-meninggal-dunia-selepas-mengadu-tidak-sihat-ketika-kuarantin