Wanita sebagai timbalan presiden FAM?
27-07-2007 08:28:21 PM
KANGAR: Bolehkah seorang wanita menduduki kerusi timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan membantu memartabatkan semula sukan bola sepak yang dianggap kian malap?
Kedengaran janggal namun itulah yang dicadangkan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya wanita turut seiringan memajukan sukan bola sepak negara ini.
Shahidan, yang juga presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), berkata tidak ada salahnya seorang wanita menduduki kerusi nombor dua tertinggi FAM kerana wanita kini turut terlibat dalam sukan bola sepak.
Katanya kekosongan jawatan timbalan presiden FAM itu tidak harus dikhususkan kepada kaum lelaki tetapi wanita juga patut diberi peluang.
Beliau kemudian menamakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said yang dilihatnya sebagai antara tokoh wanita yang layak mengisi kekosongan akibat pelepasan jawatan oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu.
“Kita juga boleh cadang Rafidah (Datuk Seri Rafidah Aziz) atau Shahrizat (Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil) sebagai calon,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Ditanya sama ada beliau masih berminat dengan jawatan dalam FAM, Shahidan berkata jika keadaannya bersesuaian, beliau bersedia menerima mandat itu.
Jika PFA menyokong mana-mana calon, beliau juga akan turut memberi sokongan, katanya.
Baru-baru ini, Shahidan dilaporkan menunjukkan kesediaannya mengisi jawatan itu jika dicalonkan.
Terdahulu, Menteri Besar Perlis itu menerima pelantikan lima anggota Majlis Perbandaran Kangar yang mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapannya.
Kesemua mereka yang mewakili Umno terdiri daripada Yusuf Abdul, Sabri Ismail, Azizan Bakar, Afifi Osman dan Asmaizab binti Ahmad. BERNAMA