Wanita Orang Ulu disaran lengkap diri dengan pengetahuan, kemahiran

MIRI: Wanita Orang Ulu diingat supaya terus melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran membantu berdepan cabaran ekoran perkembangan pembangunan pesat termasuk perubahan global.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata pembelajaran merupakan sebahagian daripada proses perjalanan atau keperluan sepanjang hayat kerana sentiasa ada sesuatu yang baharu perlu mereka kuasai.

“Kita tidak boleh meneruskan cara hidup seperti dahulu kerana banyak perkara telah dan akan sentiasa berubah malah cara berpakaian sekali pun, turut berubah pada masa kini berbanding dahulu.

“Jika kita tidak berubah mengikut peredaran masa, kita akan ketinggalan.

“Justeru kaum wanita perlu bermula dari sekarang harus belajar agar wanita Orang Ulu tidak ketinggalan di belakang berbanding bangsa lain,” katanya.

Dennis berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita dan Ceramah Keterampilan Diri FORUM 2016 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Seminar tersebut telah dihadiri lebih 100 peserta wanita dan ia telah dianjurkan oleh Sayap Wanita Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak (FORUM).

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Kijan Toynbee yang juga pengerusi Sayap Wanita FORUM.

Sementara itu, seminar berkenaan turut dijayakan oleh beberapa penceramah jemputan terdiri daripada Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Masyarakat DSP Collin Babat, Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Sarawak Awang Amli Awang Mohamad, wakil pertubuhan keagamaan FFMI (Forward in Faith Ministry International) Tatendaishe Gudyanga dan Busak Iboh iaitu pemilik Busak’s Hair and Beauty Centre.

Dennis dalam ucapannya pada majlis itu turut memuji penganjur kerana berjaya menganjurkan seminar dengan menggabungkan dua topik menarik perhatian golongan wanita termasuk pengetahuan serta pembangunan sejajar dengan perkembangan semasa.

“Apabila kita bercakap mengenai kepimpinan, kita bercerita mengenai setiap orang menjadi pemimpin dalam cara yang tersendiri.

“Semua orang merupakan pemimpin, termasuk ibu, ayah, suami atau isteri kerana masing-masing membimbing keluarga mereka ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/05/wanita-orang-ulu-disaran-lengkap-diri-dengan-pengetahuan-kemahiran/