Wanita akan terus sokong wakil rakyat BN

Fatimah tidak nafi peranan wanita dalam memberi kemenangan besar kepada calon BN pada PRN lalu

// Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

POTONG KEK: Fatimah (lapan kanan) memotong kek sambil disaksikan tetamu
pada Majlis Makan Malam sempena Hari Wanita Pergerakan Wanita Komponen BN
Baram malam kelmarin.

POTONG KEK: Fatimah (lapan kanan) memotong kek sambil disaksikan tetamu pada Majlis Makan Malam sempena Hari Wanita Pergerakan Wanita Komponen BN Baram malam kelmarin.

MIRI: Golongan wanita dan kaum ibu di bawah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus berdiri teguh memberi sokongan padu kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua Wanita PBB Datuk Fatimah Abdullah tidak menafikan peranan golongan wanita dalam memberi kemenangan besar kepada calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Golongan wanita memainkan peranan amat besar meraih undi dan membantu kemenangan calon pada PRN lalu dan insya-Allah kita akan meneruskan momentum ini menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya pada Jamuan Malam sempena Hari Wanita anjuran Pergerakan Wanita Komponen BN Baram di sini malam kelmarin.

Fatimah berkata sebagai persiapan awal menghadapi PRU Ke-14 (PRU14), semua ahli wanita parti komponen BN harus bertindak lebih awal mendekati pengundi.

“Kita tidak mahu menunggu dalam tempoh berkempen sahaja mendekati pengundi sebaliknya kita mahu semua wanita peringkat akar umbi bergerak meraih sokongan lebih awal,” jelasnya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Komuniti itu memberitahu, langkah perlu dillakukan ialah mendaftarkan pengundi baharu dan pengundi berada di luar kawasan.

“Walaupun ada kalangan rakyat mengatakan menyokong BN namun ia perlu diterjemahkan dalam bentuk undi dan tugas wanita PBB ialah mendaftarkan pengundi baharu,” ujarnya.

Fatimah menambah, kemenangan wakil rakyat BN pada PRN lalu adalah bukti kesungguhan golongan wanita dalam parti komponen bagi memastikan kemenangan calon-calon BN.

“Tugas meraih undi dan mendapat kepercayaan daripada pengundi bukan tugas mudah malah kadangkala timbul salah faham semasa berusaha mendapatkan sokongan pengundi,” katanya.

Beliau berkata pihak sekretariat parti akan mengeluarkan nama-nama mereka yang layak tetapi belum mendaftar sebagai pengundi dan ia adalah strategi untuk mendapatkan penyokong baharu.

“Strategi kita untuk mendaftarkan pengundi baharu seterusnya mendapatkan sokongan mereka pada pilihan raya lalu telah membuahkan hasil dan kita yakin strategi ini akan diteruskan,” jelasnya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, semua wanita PBB disaran mendekati pengundi-pengundi baharu dan menjaga mereka yang berada dalam kawasan wakil rakyat BN.

“Kerjasama semua pihak termasuk wakil rakyat komponen BN amat penting bagi meneruskan kesinambungan kemenangan BN pada PRU14 nanti.

“Pada masa sama, golongan wanita PBB juga harus memberi sokongan padu kepada calon-calon BN pada PRU14 nanti dan membantu memastikan kemenangan mereka,” katanya.

Fatimah juga mahu golongan wanita diberi peluang dan hak sama rata terlibat secara langsung dalam sektor ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Katanya wanita juga mampu berdikari setanding dengan kaum lelaki malah mereka mampu memikul tugas dan tanggungjawab sekiranya diberi peluang.

Hadir sama Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, ADUN Marudi merangkap Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil dan ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala.

Bertemakan ‘Memperkasakan Wanita Dalam Kesatuan’ majlis itu dihadiri lebih 500 wanita parti komponen BN dari Baram dan Miri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/11/wanita-akan-terus-sokong-wakil-rakyat-bn/