Wakil rakyat dipilih harus tunjuk kredibiliti berkhidmat

MIRI: Semua calon Barisan Nasional (BN) yang meraih 72 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) harus menunjukkan kredibiliti berkhidmat untuk rakyat atau dengan erti kata lain tiada ‘honeymoon’.

Pemerhati politik tempatan Wan Zain Syed Mohdzar berkata mandat diberikan rakyat kepada mereka jelas membuktikan bahawa rakyat mahu wakil rakyat yang dapat membela nasib mereka.

“Kita tidak mahu wakil rakyat yang sudah menang pilihan raya seolah-olah lupa tanggungjawab dan mandat diberikan rakyat kepada mereka serta bertindak memperlahan khidmat mereka,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata kemenangan calon-calon BN adalah disebabkan populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam beberapa dasar yang diperkenalkan dalam tempoh dua tahun.

“Mereka yang menang pilihan raya kali ini tidak perlu berasa selesa sebaliknya jika rakyat menilai individu terbabit kurang menyumbang dalam tempoh lima tahun ini maka rakyat Sarawak akan menghukum BN pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Wan Zain mengakui bahawa kemenangan BN termasuk beberapa kerusi panas di bandar khasnya kawasan pengundi Cina menunjukkan komuniti itu memberi pertimbangan kepada wakil rakyat kerajaan untuk membela nasib mereka.

“Sebab itu saya katakan di awal tadi tiada istilah ‘honeymoon’ dan mereka wajib memberi khidmat sebaik mungkin dalam tempoh lima tahun ini kerana ia adalah tempoh percubaan dan penilaian,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya wakil rakyat yang dipilih itu memperlahan rentak tidak seperti mana mereka agresif semasa berkempen maka sudah pasti pengundi lebih berpihak kepada pihak lawan.

“Kita tidak tahu sentimen apa yang berlaku dalam tempoh lima tahun akan datang, justeru sebaik sahaja wakil rakyat mengangkat sumpah maka mereka harus turun padang dan bekerja untuk rakyat,” ujarnya.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang semua 40 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menang tujuh kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang semua 11 kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang tiga kerusi.

Paling menarik calon langsung BN turut menang 11 kerusi meskipun ramai yang beranggapan BN hanya menang kerusi parti komponen sahaja.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/10/wakil-rakyat-dipilih-harus-tunjuk-kredibiliti-berkhidmat/