Wajib isytihar butiran perjalanan lampau untuk masuk ke Sarawak

PETRA JAYA: Berkuat kuasa hari ini, semua pelancong diwajibkan mengisi borang pengisytiharan kesihatan untuk kemasukan ke Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata borang yang disediakan di setiap laluan masuk bertujuan untuk mengetahui butiran perjalanan terdahulu pelancong.

Di samping itu, katanya semua lapangan terbang di Sarawak dipasang pengimbas suhu sebagai langkah cegah jangkitan coronavirus.

Beliau berkata alat pengimbas haba akan dipasang di dua lagi lapangan terbang iaitu di Sibu dan Bintulu, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Lapangan Terbang Miri sudah dilengkapi alat berkenaan.

“Kita juga akan mengetatkan pemeriksaan di semua pintu masuk darat termasuk di Sungai Tujuh di Miri dan Tebedu di Serian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar dan Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Ken Leben.

Sementara itu, beliau berkata ujian makmal terhadap enam daripada lapan individu yang disyaki dijangkiti coronavirus atau 2019-nCoV di Sarawak, disahkan negatif.

Katanya, lima daripada suspek itu dilaporkan di Kuching, manakala masing-masing seorang di Sibu, Bintulu dan Miri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan ujian makmal sampel yang diambil daripada dua lagi individu dari Kuching dan Miri, masih belum diperoleh.

“Keputusan ujian yang kami peroleh dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur mendapati enam adalah negatif iaitu empat sampel dari Kuching dan masing-masing satu dari Sibu dan Bintulu,” katanya.

Beliau berkata, daripada lapan individu berusia antara 20 hingga 50 tahun yang disyaki itu, lima dilaporkan di Kuching dan masing-masing seorang di Sibu, Bintulu dan Miri.

“Suspek adalah empat lelaki dan empat wanita dengan empat adalah rakyat tempatan, tiga warga China dan seorang warga Thailand,” katanya.

Katanya, biasanya keputusan ujian makmal di IMR di Kuala Lumpur diperoleh dalam tempoh 36 hingga 48 jam.

“Sebagai contoh bagi kes di Bintulu yang membabitkan wanita China, ia mengambil masa 48 jam untuk keputusan diketahui,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/650815/wajib-isytihar-butiran-perjalanan-lampau-untuk-masuk-ke-sarawak