Viral negatif jejas pelancongan


(bharian.com.my) #1

MIRI: Perbuatan segelintir pengguna internet dalam kalangan penduduk negeri ini yang menyebarkan dakwaan mengenai wabak penyakit berjangkit mampu menjejaskan sektor pelancongan.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata perbuatan itu tidak membawa faedah melainkan sekadar menakutkan pelancong luar berkunjung ke Sarawak.

Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, perbuatan itu juga menjejaskan promosi pelancongan yang sudah dilakukan di luar Sarawak.

"Justeru, saya minta penduduk Sarawak supaya jangan suka menjejaskan imej negeri sendiri.

“Viral penularan wabak misteri di Hospital Miri (HM), baru-baru ini, boleh memberi kesan terhadap sektor pelancongan di utara negeri ini,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Minggu lalu, dakwaan mengenai penularan wabak penyakit misteri di HM, menjadi viral di laman sosial.

Situasi itu, mencetuskan kebimbangan orang awam, sekali gus memaksa Jabatan Kesihatan Sarawak mengeluarkan kenyataan menafikan wujudnya kes itu.

Kim Shin berkata, kejadian itu tidak menjejaskan usaha kementeriannya untuk terus aktif mempromosi industri pelancongan di Sarawak.

Katanya, ia termasuk mempelawa lebih banyak syarikat penerbangan dari negara luar melakukan penerbangan terus ke negeri ini.

“Ia termasuk dari negara China dan Indonesia serta negara jiran yang lain” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/03/399261/viral-negatif-jejas-pelancongan