Nurhayatun penerima Anugerah Graduan Terbaik UiTM S’wak 2016 sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-85
// Oleh Nick Fletcher //
GRADUAN TERBAIK: Pro Cancelor UiTM Tan Sri Dato Sri Safri Awang Zaidell (duduk, tengah), Rektor UiTM Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali (duduk, empat kanan) dan pensyarah-pensyarah UiTM Sarawak merakam kenangan bersama graduan-graduan terbaik UiTM Sarawak sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-85 di UiTM Kampus Samarahan 1, semalam.
SAMARAHAN: Kejayaan seseorang anak tidak hanya datang atas usaha sendiri tetapi ia adalah berkat daripada doa ibu bapa.
Demikian diakui pelajar terbaik, Nurhayatun Sobariah Abdul Razak yang merangkul dua Anugerah Graduan Terbaik UiTM Sarawak 2016 sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-85 yang berlangsung di UiTM Kampus Samarahan 1 di sini, semalam.
Graduan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia itu telah dipilih sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan Sarawak (Sarjana Muda) dan Anugerah Graduan Terbaik (Sarjana Muda).
“Setiap kali hendak peperiksaan, saya akan menghubungi ibu untuk memintanya berdoa agar peperiksaan saya dipermudahkan,” katanya ketika ditemu bual.
Bagaimanapun kejayaan yang dicapai di UiTM bukanlah penamat bagi anak sulung daripada enam adik beradik yang berusia 26 tahun dari Kedah itu untuk belajar, sebaliknya berhasrat untuk menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Saya merancang menerus-kan pengajian dalam bidang Sains Kimia di UKM agar dapat mencapai cita-cita menjadi seorang saintis,” katanya.
Seorang lagi penerima Anugerah Graduan Terbaik UiTM Sarawak 2016, Noor Zafirah Mohamad yang turut merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan Sarawak (Diploma) dan Anugerah Graduan Terbaik (Diploma), juga berkata doa ibu adalah kunci kepada kejayaannya.
Seperti Nurhayatun, beliau juga sering menghubungi ibunya untuk meminta doa sebelum menduduki peperiksaan.
“Tanpa doa ibu, saya tidak akan mencapai kejayaan pada hari ini,” kata graduan Diploma Pengajian Perniagaan itu ketika ditemu bual.
Merupakan anak keenam daripada tujuh adik beradik, gadis berusia 22 tahun dari Sabah itu berhasrat menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya.
Beliau sekarang sedang menuntut di UiTM Kota Kinabalu dalam jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Kewangan.
Manakala gadis berbangsa Iban dari Miri, Emelda Bodong, 21, menyifatkan kejayaan yang ditempanya di UiTM adalah hasil sokongan penuh yang diberikan oleh bapanya walaupun hanya seorang buruh.
“Hasil daripada galakan ibu bapa dan semangat untuk berdikari maka saya berjaya menamatkan pengajian dalam Diploma Perakaunan,” katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Perakaunan.
Menurut anak sulung daripada tiga adik beradik itu, semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran didorong cita-citanya yang ingin menjadi seorang akauntan.
Source: http://miri.my/2016/11/08/usaha-sendiri-doa-ibu-bapa-penyumbang-kejayaan/