Usaha kesan lebih 500 jemaah tabligh untuk saringan COVID-19

KUCHING: Lebih 500 peserta ijtimak tabligh dari negeri ini yang menyertai perhimpunan di Selangor, baru-baru ini sedang dicari bagi menjalani ujian saringan COVID-19.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua individu berkenaan menghadiri perhimpunan itu di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Jika anda atau sesiapa yang anda kenal ada menghadiri acara berkenaan, sila hadir ke hospital kerajaan atau pejabat kesihatan daerah terdekat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hing, mengesahkan kematian seorang kanak-kanak di Miri semalam adalah berkaitan Influenza A, bukan disebabkan oleh COVID-19.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia 11 tahun itu mendapat rawatan di Hospital Miri pada 8 Mac lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Miri pada hari yang sama.

Katanya, pesakit mengalami demam panas, batuk, muntah dan sesak nafas sejak 5 Mac.

Namun, beliau menjelaskan kes itu tidak mempunyai sejarah melawat ke luar negara atau mempunyai sejarah kontak dengan kes COVID-19, malah keputusan ujian makmal yang dijalankan sebanyak dua kali ke atas kanak-kanak berkenaan iaitu pada 9 dan 10 Mac juga didapati negatif coronavirus baharu itu.

“Pesakit itu meninggal dunia pada jam 5.45 pagi, 11 Mac di Hospital Miri dan disahkan akibat jangkitan Influenza A yang teruk menyebabkan organ gagal berfungsi,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan virus yang sedang melanda ketika ini.

Katanya, maklumat terkini berkaitan COVID-19 boleh didapati daripada laman sesawang www.moh.gov.my.

Orang ramai juga boleh berhubung dengan Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah yang terdekat atau emel kepada Pusat Tindak Cepat Krisis (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di [email protected] atau menghubungi talian 082-443248.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/664747/usaha-kesan-lebih-500-jemaah-tabligh-untuk-saringan-covid-19