Usaha jejaki, buru nelayan asing dipergiat

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

Tiada aduan penglibatan pemborong, penjual ikan tempatan dalam isu nelayan asing

MIRI: Belum terdapat sebarang aduan tentang penglibatan pemborong atau penjual ikan tempatan dalam isu nelayan asing namun usaha menjejaki dan memburu nelayan asing terus dipergiat.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan penglibatan kedua-dua pihak terbabit.

Kami tidak menerima apa-apa maklumat tentang penglibatan mereka namun kerajaan memandang serius perkara ini dan memburu nelayan asing, katanya.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Senadin itu berkata demikian selepas ditanya sama ada kegiatan nelayan asing didalangi pemborong atau penjual ikan tempatan.

Dalam isu sama, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meneruskan operasi memantau perairan negara termasuk kawasan aduan nelayan tempatan.

Kami bertegas dalam perkara ini dan operasi memantau, membanteras dan mencegah kegiatan nelayan asing di perairan negara diteruskan, jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee turut meminta kerjasama orang awam untuk melaporkan kegiatan nelayan asing kepada pihak berkuasa tempatan.

Beliau memberitahu bahawa nelayan tempatan tidak perlu takut melaporkan kegiatan nelayan asing kerana beberapa pasukan ditubuhkan menangani isu itu.

Kerjasama menangani isu nelayan asing ini memerlukan semua pihak dan kami berharap mereka tampil membuat aduan jika ada maklumat kegiatan nelayan asing, katanya.

Kelmarin, APMM merampas dua bot dan menangkap dua individu dipercayai nelayan Filipina menangkap udang geragau (bubuk) termasuk seorang rakyat tempatan.

Sebuah bot dirampas di Lutong dan kelihatan ditinggalkan lebih awal sementara sebuah lagi bot dinaiki tiga individu ditahan di Batu 1, Kuala Baram pada awal pagi Ahad lalu.

Ini adalah hasil kerjasama nelayan tempatan dan sejak dilaporkan dalam akhbar tempatan, nelayan warga asing dikatakan bersembunyi kerana takut kepada penguatkuasaan.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/03/17/usaha-jejaki-buru-nelayan-asing-dipergiat/