Usaha diperhebat

Oleh Rosemaria Buma//

SERBUAN: Beberapa unit komputer yang dirampas dari sebuah premis di Tudan kelmarin.

SERBUAN: Beberapa unit komputer yang dirampas dari sebuah premis di Tudan kelmarin.

MIRI: Polis Sarawak kini memperhebat usaha membanteras kegiatan judi siber di negeri ini selepas menyerbu empat premis termasuk sebuah kedai runcit kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner (SAC) Dev Kumar berkata empat premis itu masing-masing satu di Marudi dan Miri serta dua lagi di kawasan Tanjong Kidurong, Bintulu.

Katanya, serbuan di Marudi dilakukan di pusat snuker terletak di Jalan Kapitan Lim Ching Kiat kerana dipercayai menjalankan kegiatan judi siber.

Dalam serbuan jam 11.40 pagi itu, sepasukan polis diketuai Ketua BSJ Marudi, ASP Mohd Ruslan Mat Kib merampas enam unit tablet Samsung dipercayai diguna kegiatan judi.

“Pada masa sama , polis turut menangkap seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan merampas wang tunai RM762 dipercayai hasil judi,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam.

Manakala di Miri kata Dev, sepasukan polis diketuai Inspektor Koay Kok Ping menyerbu sebuah rumah kedai di kawasan Tudan kerana dipercayai menjalankan kegiatan serupa.

Dalam serbuan jam 5.45 petang itu, polis telah merampas sebanyak 16 unit komputer dan peralatan jalur lebar dipercayai diguna dalam kegiatan judi siber dijadikan barang kes.

Selain itu, polis turut menangkap seorang perempuan berusia 22 tahun dipercayai penjaga premis dan enam pelanggan berusia antara 20 hingga 45 tahun untuk membantu siasatan.

“Polis turut merampas wang tunai RM210 dari kaunter premis kerana dipercayai hasil daripada kegiatan judi tersebut,” ujar beliau lanjut.

Sementara itu menurut Dev, dua serbuan di Bintulu masing-masing membabitkan sebuah pusat karaoke dan sebuah kedai runcit.

Dalam serbuan pertama dilakukan jam 4 petang, sepasukan polis diketuai Inspektor Luqman Hakim Yusop menyerbu sebuah pusat karaoke terletak di kawasan Tanjung Kidurong.

Serbuan ke atas premis itu dibuat kerana didapati menawarkan perkhidmatan prabayar kepada pelanggan yang tidak mempunyai kad kredit untuk mengakses laman sesawang judi atas talian.

Berikutan itu, beberapa unit komputer riba, telefon dan tablet dipercayai digunakan untuk menawarkan perkhidmatan tersebut telah dirampas untuk dijadikan barang kes.

“Selain itu, polis turut merampas sebuah poster yang mengiklan perkhidmatan prabayar kepada pelanggan dan wang tunai RM115.

“Seorang remaja berusia 19 tahun dipercayai menawarkan perkhidmatan itu telah ditahan di kaunter premis untuk membantu siasatan,” katanya.

Manakala dalam serbuan kedua yang dilakukan pada jam 8.15 malam, sepasukan polis sama telah menyerbu sebuah kedai runcit di kawasan berhampiran kerana dipercayai turut menawarkan perkhidmatan serupa.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah komputer riba, peralatan jalur lebar, poster iklan perkhidmatan prabayar dan wang tunai RM550.

Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun turut ditangkap untuk membantu siasatan.

Sehubungan itu kata Dev, pemilik kedai terbabit dinasihatkan supaya menghenti penjualan kad prabayar kerana secara tidak langsung membantu mempromosi kegiatan judi siber kepada orang awam.

“Polis melakukan serbuan berterusan ke atas premis didapati ada menyediakan perkhidmatan seumpama ini mengelakkan orang awam membazir duit mereka untuk kegiatan judi atas talian atau siber ini,” katanya lagi.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/15/usaha-diperhebat/