Usah sekadar jadi jaguh kampung

Pelajar harus usaha mencapai kecemerlangan peringkat global: Lihan

// Oleh Connie Sylvia Mesa //

TAHNIAH: Lihan menyampaikan Anugerah Pencapaian Terbaik UPSR kepada Mia Chrystal yang merupakan antara pelajar berjaya mencapai 5A, dan disaksikan oleh Wilfred Mac (kiri) dan Henry (kanan).

TAHNIAH: Lihan menyampaikan Anugerah Pencapaian Terbaik UPSR kepada Mia Chrystal yang merupakan antara pelajar berjaya mencapai 5A, dan disaksikan oleh Wilfred Mac (kiri) dan Henry (kanan).

MIRI: Ahli Dewan Negara Senator Lihan Jok mengingat pelajar mencapai kecemerlangan bukan hanya dikenali sebagai jaguh kampung tetapi berjaya ke arah kecemerlangan dunia dan global.

Justeru, jelasnya, guru memainkan peranan serta cabaran penting dalam menyediakan pelajar ke arah berkenaan.

“Jangan hanya jadi jaguh kampung yang hanya terkenal dalam kalangan rakan di sekolah sebaliknya takut untuk membuktikan kecemerlangan yang ada dalam diri sendiri,” katanya.

Jelasnya, untuk menjadi warga dunia cemerlang, ia bermakna kejayaan bukan hanya terkongkong dalam Miri tetapi turut mendapat perhatian masyarakat di luar Miri, Sarawak bahkan Malaysia.

“Dengan itu, baharulah kejayaan dapat dibina dan pelajar sudah bersiap sedia menghadapi cabaran di luar nanti dalam mencapai kecemerlangan dalam kehidupan khususnya,” katanya.

Lihan berkata demikian dalam majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2015 SK Senadin di dewan sekolah terbabit di sini semalam.

Justeru dalam mencapai objektif berkenaan, menurutnya guru perlu menyedia suasana pembelajaran kondusif bagi memastikan pelajar bersaing secara global dan bersedia menghadapi luar zon selesa.

“Selain itu, menjadi warga ‘dunia’ tersebut, penguasaan bahasa Inggeris antara salah satu elemen penting berjaya sejajar dengan visi Ketua Menteri kita Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk mencapai ke arah itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan peranan ibu bapa juga penting dalam menentukan masa depan anak-anak mereka.

Katanya, ibu bapa harus memberi dorongan dan semangat serta memberi peluang seluasnya kepada anak-anak mereka dalam menimba ilmu.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak membiarkan anak-anak mereka dalam keadaan negatif, sebaliknya menggalakkan mereka ke sekolah dalam keadaan ceria supaya mereka fokus dalam kelas.

“Tanpa dorongan dan semangat sokongan kita kepada anak-anak, ia akan melemahkan mereka untuk mencapai kecemerlangan.

“Selain itu, jangan biarkan anak-anak kita ke sekolah dalam keadaan marah atau sedih kerana ia akan mengganggu prestasi mereka,” katanya.

Terdahulu, Guru Besar SK Senadin Wilfred Mac dalam ucapannya berbangga dengan pencapaian sekolah tersebut yang melahirkan sejumlah besar pelajar yang berjaya dalam kedua-dua bidang akademik dan kokurikulum.

Katanya, pencapaian itu membolehkan pelajar terbabit menjadi pilihan antara sekolah menengah menawarkan tempat di sekolah mereka selepas tamat tahun enam.

“Itu antara kecemerlangan dicapai di sekolah ini dengan melahirkan pelajar seimbang iaitu bukan sahaja berjaya dalam akademik, tetapi turut mencapai kejayaan dalam kokurikulum.

“Bahkan, segelintir pelajar antara atlet menyumbang prestasi cemerlang dalam sukan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) sehingga ‘dilamar’ terdahulu sekolah menengah apabila tamat tingkatan enam kelak,” tambahnya.

Sementara itu, selain majlis menyampaikan sijil kepada pelajar terbaik bagi setiap Tahun Satu hingga Enam, turut disampaikan anugerah kepada pelajar terbaik dalam UPSR yang diumumkan Selasa lalu.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Senadin Henry Jugah.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/20/usah-sekadar-jadi-jaguh-kampung/