UPP Pujut persiap jentera hadapi PRU

MIRI: Parti Rakyat Bersatu (UPP) cawangan Pujut berikrar akan bekerja keras mempersiapkan jentera parti dalam tempoh dua tahun ini untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU).

Pengerusi, Kaunselor Bruce Chai berkata, sebagai parti politik, UPP berusaha dan menetapkan matlamat berkhidmat bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dalam tempoh dua tahun ini, kita berharap mendapat pemimpin berkemampuan dan diterima di konstituensi Miri sebagai calon PRU akan datang,” jelas beliau selepas mempengerusikan mesyuarat UPP Pujut kali kelima semalam.

Mengulas tentang keputusan PRN lalu, walaupun kalah, keputusan majoriti 1,700 undi di kerusi Pujut menunjukkan bahawa UPP di bawah BN berupaya menang kembali banyak sokongan berbanding keputusan BN semasa PRN 2011.

Beliau berkata, walaupun UPP baru mencecah usia dua tahun, keputusan undi di Pujut akan dijadikan motivasi kepada semua ahli untuk bersatu dan terus berkhidmat kepada masyarakat.

Selain itu, Bruce berterima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kerana memberi kepercayaan dan keyakinan kepada UPP untuk berkhidmat kepada rakyat.

UPP akan terus menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Adenan dan pasukan Adenan selain bekerjasama dengan komponen parti BN.

Mengulas isu lain, UPP mencadangkan tambahan jawatan Setiausaha Politik untuk bahagian utara Sarawak selain pelantikan semula ketua kaum dan kaunselor Majlis Bandaraya Miri (MBM).

“Dengan penambahan jawatan Setiausaha Politik untuk Utara Sarawak akan memperkasakan sumbangan kita kepada pasukan Adenan serta menabur khidmat bakti kepada rakyat,” jelas Bruce.

Mengenai perkembangan terkini Tabung Pendidikan UPP, Bruce berkata, seramai 248 pemohon dari 146 keluarga akan menjalani temuramah secara berperingkat.

Pada 23 April lalu, UPP telah mengagihkan sebanyak RM83,750 kepada 139 pelajar dari 70 keluarga memerlukan di Pujut.

Bruce memberitahu, UPP Pujut akan terus memproses permohonan tabung bernilai RM30 juta itu dan menjalankan sesi temuramah untuk pemohon yang layak.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/11/upp-pujut-persiap-jentera-hadapi-pru/