Tutup klinik kesihatan tidak selamat

IPOH: Kementerian Kesihatan akan menutup klinik kesihatan yang tidak selamat dan tidak bersesuaian bagi memastikan perkhidmatan lebih baik kepada pesakit.

Timbalan menterinya, Dr Lee Boon Chye, berkata pihaknya akan memeriksa semula keadaan klinik terutama di kawasan luar bandar dan terpencil.

Katanya, setakat ini terdapat beberapa klinik didapati sudah tidak sesuai dan pihaknya akan meneliti keperluan klinik di kawasan terbabit.

“Kita melihat ada satu atau dua klinik seperti ini di seluruh negara, misalnya sebuah klinik di Miri, Sarawak yang menyewa dengan gereja dan apabila hujan kawasan itu sering banjir. Jadi kita terpaksa tutup dan membangunkan klinik baharu di tapak berhampiran.

“Klinik dibina tahun 1960-an dan 1970-an serta klinik kesihatan atau klinik desa sebelum ini dibangunkan di kawasan terpencil bertujuan memberi perkhidmatan kepada kumpulan penduduk di situ.

“Bagaimanapun banyak kawasan yang sebelum ini terpencil, kini sudah membangun dan pengangkutan juga sudah meningkat. Jadi kita mungkin perlu melihat semula bagaimana untuk menguruskan klinik di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Bijih Timah, di sini hari ini.

Dr Boon Chye berkata, pihaknya akan meneliti pelbagai aspek pembangunan klinik dan melihat keseluruhan operasi, sebelum membuat keputusan.

Dalam perkembangan sama, pihaknya mengarahkan Klinik Kesihatan Bijih Timah ditutup berikutan infrastruktur yang tidak sesuai.

“Kita melihat pengangkutan di kawasan ini semakin maju dan terdapat banyak klinik berdekatan. Jadi pesakit di sini dicadangkan mendapat rawatan di klinik kesihatan berhampiran seperti di UTC (Pusat Transformasi Bandar), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Klinik Greentown atau Klinik Buntong.

“Semua 10 kakitangan termasuk dua pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Bijih Timah akan dipindahkan ke klinik kesihatan lain supaya perkhidmatan berkenaan boleh dioptimumkan,” katanya.

Selain itu Dr Boon Chye berkata, bangunan baharu HRPB yang dibuka sejak bulan lalu dijangka beroperasi sepenuhnya Mac ini.

Katanya, pihaknya berharap pembukaan bangunan baharu itu dapat mengurangkan kesesakan yang dialami di bangunan lama HRPB.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/01/647498/tutup-klinik-kesihatan-tidak-selamat