Tumbuh lebih pesat

PERIKSA: Tun Taib dan Adenan menaiki kenderaan khas untuk memeriksa
pasukan perbarisan di Stadium Miri semalam.

PERIKSA: Tun Taib dan Adenan menaiki kenderaan khas untuk memeriksa pasukan perbarisan di Stadium Miri semalam.

SELAMAT ULANG TAHUN: Tun Taib memotong kek hari jadi sempena Sambutan Perayaan Hari Jadi Ke-80 beliau di Stadium Miri semalam.

Ekonomi Sarawak perlu berkembang lebih cepat untuk capai status negeri maju 2030: Adenan

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Ekonomi Sarawak perlu berkembang dengan lebih cepat untuk membolehkannya mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, purata pertumbuhan pada kadar empat peratus beberapa tahun kebelakangan ini tidak mencukupi untuk meletakkan Sarawak pada status negeri maju dalam tempoh dua dekad akan datang.

Katanya, ekonomi seharusnya berkembang pada kadar 6.5 peratus untuk membolehkan negeri mencapai impian itu.

“Ia suatu angka yang agak tinggi dan kita perlu berusaha gigih untuk mencapainya. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap sektor minyak dan gas serta komoditi pertanian di pasaran global.

“Kita perlu menerokai sumber baharu untuk membantu pertumbuhan ekonomi negeri dan saya yakin kita ada potensinya,” ujarnya berucap sempena Sambutan Perayaan Hari Jadi Ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Stadium Miri, semalam.

Adenan berkata, meskipun ekonomi global tidak menentu dan kejatuhan harga minyak, pada tahun lepas ekonomi Sarawak berkembang sebanyak empat peratus dengan keluaran kasar produk domestik mencecah RM122 bilion dan pendapatan per kapita sebanyak RM45,000.

Katanya, kerajaan sentiasa berhemah dalam perbelanjaan dan ini terbukti dengan bil bersih oleh juruaudit sepanjang 13 tahun berturut.

“Kita akan meneruskan peruntukan yang mengutamakan pembangunan khususnya menyediakan kemudahan infrastruktur, kemudahan awam dan kemudahan untuk rakyat di luar bandar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adenan berkata Sarawak terus mendesak kerajaan persekutuan untuk meluluskan lebih banyak sekolah aliran bahasa Inggeris bagi membolehkan tumpuan diberi kepada pendidikan dan pembelajaran bahasa itu.

Beliau berkata, dikhuatiri seramai 15,000 hingga 20,000 graduan di Sarawak gagal mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka lemah.

“Kita perlu mencari penyelesaian dengan memberi keutamaan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris termasuk menubuhkan lebih banyak sekolah yang hanya fokus meningkatkan kemahiran pelajar dalam bahasa itu.

“Kita tahu perlunya keseragaman untuk mencapai polisi pendidikan kebangsaan, namun keseragaman itu tidak semestinya membawa perpaduan. Sarawak perlukan kebebasan untuk melakukan sesuatu yang memenuhi keperluannya,” ujarnya.

Adenan berkata, Sarawak mempunyai kuasa autonomi dan wajar diberi kebebasan untuk menentukan sendiri polisi pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan negeri.

Ujarnya, kerajaan negeri menegaskan pendirian untuk menyokong penubuhan lebih banyak sekolah yang menumpukan sepenuhnya pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Inggeris.

“Kita mahu seperti Singapura atau negeri lain dan kita belum terlewat untuk berbuat demikian. Kita tidak mahu graduan Sarawak menganggur dan gagal mendapat pekerjaan hanya kerana tidak fasih berbahasa Inggeris,” tegasnya.

Adenan turut menggesa Kementerian Pendidikan agar memberi perhatian terhadap kemudahan sekolah khususnya di luar bandar yang sebahagiannya amat daif.

“Peruntukan daripada kerajaan persekutuan yang kita terima selama ini tidak mencukupi untuk menyediakan sekolah yang lebih selesa.

“Kita masih mempunyai sekolah yang ‘terjun’ ke dalam sungai kerana hakisan, sekolah yang tiada bekalan elektrik 24 jam dan sekolah yang hubungi dengan jalan berlumpur dan becak,” katanya.

Terdahulu, Adenan berkata kualiti kehidupan rakyat di negeri ini akan terus diberi perhatian sekali gus memastikan mereka menikmati gaya hidup yang lebih baik dan sempurna.

“Tun dengan kebijaksanaan beliau semasa menjadi Ketua Menteri telah membina Sarawak yang stabil, aman, damai dan progresif. Tun ibarat payung keharmonian dan kemakmuran Sarawak sejak sekian lama dan tidak dapat dinafikan telah banyak menyumbangkan jasa bakti.

“Ketika memegang tampuk kepimpinan sebagai Ketua Menteri, Tun telah memperkenalkan konsep politik pembangunan agar tenaga dan sumber rakyat negeri dapat digembleng untuk memajukan negeri Sarawak,” katanya.

Adenan berkata, keharmonian masyarakat berbilang kaum, pembangunan ekonomi dan kestabilan politik yang dinikmati hari ini adalah hasil pimpinan Tun Taib yang sentiasa berpandangan jauh.

“Saya mengakui semua kestabilan ekonomi, sosial dan politik yang ada pada hari ini adalah legasi daripada era Tun. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membawa Sarawak ke tahap pembangunan tertinggi setaraf dengan Semenanjung Malaysia.

“Tun Taib menghabiskan lebih 50 tahun untuk berkhidmat kepada negara dan Sarawak. Beliau merupakan lambang perpaduan dan kepesatan pembangunan untuk rakyat Sarawak,” kata Adenan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/10/tumbuh-lebih-pesat/