Tujuh laporan polis semasa penamaan calon

Oleh Jeremy Lanson//

KUCHING: Tujuh laporan polis diterima di seluruh negeri sepanjang proses penamaan calon kelmarin dengan lima daripadanya disiasat oleh polis dan dua dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketika dihubungi kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata laporan tersebut dibuat di Kuching, Sibu, Miri, Meradong, Sarikei, Bintulu dan Kapit.

“Kami menyiasat empat laporan tentang kesalahan yang didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 manakala satu lagi mengenai pergelutan yang didakwa berlaku antara dua pihak penyokong.

“Dua kes lagi sudah dirujuk kepada SPR untuk tindakan mereka,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Menurut Dev Kumar, tiga kes tersebut ada kaitan dengan pameran atau pengedaran bahan kempen pilihan raya tanpa permit yang dikeluarkan oleh pegawai pilihan raya negeri dan satu kesalahan di bawah Seksyen 24B(4) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Satu lagi kes berkaitan satu tindakan atau kenyataan dengan tujuan atau kecenderungan untuk menyemai perasaan benci atau tidak puas hati antara dua parti dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) akta yang sama,” katanya.

Mengenai pergelutan yang didakwa berlaku di luar pusat pencalonan di Kapit tetapi tidak mengakibatkan sebarang kecederaan, Dev Kumar berkata kes tersebut diklasifikasikan sebagai sengaja menyebabkan kecederaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau seterusnya menasihati semua pihak yang terlibat, terutama penyokong agar mematuhi undang-undang dan berkempen dengan aman sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

“Kami mempunyai cukup pasukan di lapangan untuk memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/27/tujuh-laporan-polis-semasa-penamaan-calon/