Tolak politik kebencian dibawa pembangkang

MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat Sarawak agar menolak politik kebencian yang dibawa pembangkang di negeri ini.

Beliau berkata, pembangkang sengaja mengheret rakyat negeri ini dengan politik kebencian bagi mewujudkan ‘political fear’ atau ketakutan politik dalam kalangan masyarakat.

“Kita tidak boleh termakan politik kebencian dan ketakutan yang cuba ditanam pembangkang. Mereka menggunakan apa jua isu yang sengaja ‘diadakan-adakan’ khususnya melalui media sosial dan ucapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini malam Jumaat lalu yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu.

Hadir sama isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang turut ditemani isteri, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta tetamu kehormat lain.

Menurut Najib, baru-baru ini Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen membuat dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menaikkan kadar Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 10 peratus jika BN menang pada PRN-11 nanti.

“Saya nak nyatakan ini satu pembohongan besar. Kerajaan tidak pernah sesekali cuba untuk menaikkan kadar GST, bukan saja di Sarawak tetapi di seluruh Malaysia. Usah kata 10 peratus, bahkan satu peratus sekalipun ia tidak akan berlaku.

“Kita akan kekal GST pada kadar sedia ada. Ini komitmen kerajaan, saya jamin perkara ini sebagai Menteri Kewangan.

“Pada belanjawan akan datang kita tidak akan naik kadar GST walaupun ekonomi negara terjejas akibat kejatuhan harga minyak global,” katanya.

Pemimpin nombor satu negara itu menambah, pembangkang sengaja menakut-nakutkan rakyat untuk meraih sokongan dengan menimbulkan politik kebencian.

Terdahulu, Tan Sri Adenan Satem dalam ucapannya berkata, beliau memuji Najib lebih penyayang dan mengambil berat hal ehwal Sarawak.

“Dalam enam Perdana Menteri kita yang ada, Najib yang lebih sayang dan peduli serta mengambil berat terhadap Sarawak.

“Selain itu, beliau telah melawat sebanyak 49 kali ke seluruh Sarawak dan datang bukan dengan tangan kosong,” katanya.

Menurut Adenan, Najib sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada rakyatnya di sini.

Oleh itu, beliau mahu rakyat Sarawak terus memberikan mandat besar kepada Najib untuk menerajui kepimpinannya.

Dalam majlis terbabit, Adenan turut mendendangkan beberapa buah lagu diantaranya Young One dan Can’t Help Falling In Love, bernilai RM1 juta yang akan didermakan kepada badan kebajikan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/02/tolak-politik-kebencian-dibawa-pembangkang/