Tindakan tegas jika kelirukan orang ramai

Pengusaha makanan dan minuman dilarang promosi berbuka puasa jika tiada sijil halal

// Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Pengusaha kedai makanan dan minuman seperti restoran tidak mempunyai perakuan halal seluruh negeri ini dilarang menggunakan perkataan promosi berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Khalipah Juli berkata perkataan atau ‘tagline’ berunsur mengajak orang Islam berbuka puasa di premis mereka disifatkan sebagai perbuatan menjurus ke arah kekeliruan.

Malah, ia termasuk tindakan segelintir pengusaha menggunakan perkataan ‘halal’ dan ‘logo halal’ tanpa diperakui oleh pihak berkuasa berwibawa seperti JAIS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kita amat mengambil berat berhubung isu ini kerana kita tidak mahu ada pengusaha (restoran) mengambil kesempatan membuat promosi Ramadan sedangkan premis mereka tidak memiliki pensijilan halal yang diperakui.

“Di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, semua makanan, barangan mahupun perkhidmatan tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan diperakukan sebagai halal oleh JAKIM atau JAIS dan ditandakan dengan logo halal asli yang dikeluarkan oleh JAKIM atau JAIS,” katanya di sini semalam.

Justeru itu, mana-mana restoran tidak memiliki pensijilan halal diiktiraf maka dilarang menggunakan sebarang tawaran promosi berbuka puasa mahupun apa juga perkataan mengaitkan aktiviti berbuka puasa di premis masing-masing.

Dalam pada itu, JAKIM atau JAIS akan mengambil tindakan tegas terhadap premis yang mengambil kesempatan menarik pelanggan Islam untuk menjamu selera di restoran mereka.

“Kami tidak berdiam diri sekiranya berlaku sebarang penyelewengan atau penyalahgunaan pensijilan halal.

“Setiap premis makanan dikenal pasti mengelirukan masyarakat Islam khususnya sepanjang Ramadan akan diambil tindakan tegas kerana menyebabkan kekeliruan orang ramai,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalipah berkata sehingga kelmarin (11 Ramadan) menerusi operasi dan pemantauan dijalankan seluruh negeri oleh pihaknya berjaya menangkap beberapa pengusaha melakukan kesalahan tidak memiliki perakuan halal tetapi menjalankan promosi berbuka puasa.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai jumlah tangkapan namun memberitahu tangkapan dijalankan di Kuching dan Miri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/17/tindakan-tegas-jika-kelirukan-orang-ramai/