Tindakan lelaki panjat bumbung elak dicekup polis tidak berhasil

DICEKUP: Suspek berjaya dicekup di atas bumbung.

DICEKUP: Suspek berjaya dicekup di atas bumbung.

MIRI: Tindakan nekad seorang lelaki memanjat bumbung stor sebuah rumah bagi mengelak dicekup polis tidak berhasil apabila dia akhirnya berjaya ditahan setelah adegan kejar-mengejar berlaku sehingga ke bumbung stor terbabit.

Kejadian berlaku di sebuah kawasan perumahan di Jalan Pujut-Miri di sini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat dalam kenyataan medianya mengesahkan tangkapan ke atas suspek berusia 36 tahun itu.

Katanya sekitar jam 4 petang kelmarin di Jalan Pujut-Miri, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri diketuai ASP Unang Giang mengekori sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki suspek.

“Apabila menyedari kehadiran polis, suspek memecut kenderaan dipandunya se-hingga melanggar sebuah lori sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Suspek kemudian keluar dari kenderaan dipandunya dan terus melarikan diri ke kawasan perumahan Pujut sebelum memanjat bumbung stor sebuah rumah di kawasan terbabit,” katanya.

Melihat keadaan itu, anggota BSJD terus mengejar suspek sehingga ke bumbung stor dan berjaya menahannya kerana disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan.

Difahamkan, kenderaan yang dipandu suspek dilaporkan hilang pada 10 Januari lalu.

Berikutan itu, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Manakala kenderaan terbabit dirampas untuk dijadikan barang kes dan disiasat lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/13/tindakan-lelaki-panjat-bumbung-elak-dicekup-polis-tidak-berhasil/