Tiga sekolah menengah wakili S’wak sertai ‘Young Innovate Malaysia 2016’

MIRI: Tiga sekolah menengah di Miri mewakili Sarawak ke pertandingan rekaan ‘Young Innovate Malaysia 2016’ di Kuala Lumpur bermula hari ini dan esok sempena pameran Sains Kejuruteraan Kuala Lumpur (KLESF).

Pertandingan peringkat kebangsaan itu adalah berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terbuka kepada semua sekolah menengah di Malaysia.

Sarawak diwakili SMK Luak, SMK St Joseph dan SMK Merbau yang turut merupakan tiga pasukan terbaik pertandingan Young Innovate Miri anjuran Universiti Curtin Sarawak.

SMK Luak diwakili oleh pasukan Luak Team 2.0 dianggotai oleh Yeo Yii Yun Nurul Afiqah Nor Arizal dan Nor Badiriah Napisa menghasilkan Automatic Buggy System untuk membantu golongan kurang upaya mengemudi dan bergerak dengan mudah di lapangan terbang.

SMK St Joseph diwakili pasukan The Graphite Atoms’ dianggotai oleh McLaren Ludan Bada, Kevin Ruly Andrew dan Malcolm Ling Essa dengan rekaan ‘Ultrasound Insect Repeller’ iaitu penghalau serangga mesra alam yang menggunakan ultrasound.

Sementara SMK Merbau diwakili pasukan Alpha dianggotai oleh Avesha Veronica Law dan Soon Ee Ying untuk rekaan Water Flow Sensor iaitu alat sensor yang mengesan jumlah air yang digunakan dan akan berbunyi sekiranya penggunaan air berlebihan.

Ketiga rekaan ini mendapat markah tertinggi dari panel hakim Young Innovate Miri terdiri dari Ayisha Arshad dari Shell Malaysia, Sabatini Jihob dari Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS), Siti Aisyah Zakaria dari IM4U Outreach dan Mohamad Zulfadli Amin dari Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC).

Young Innovate Miri sebelum ini dikenali program SAINS on Wheels – Tech Mentor Sarawak iaitu program khidmat masyarakat dianjurkan oleh Pusat Keusahawanan dan Kepimpinan Curtin Malaysia (LEC) dan Institut Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Curtin Malaysia (IEEE) dengan sokongan Fakulti Kejuruteraan dan Sains.

Pada tahun lalu, lima sekolah dari Miri mewakili Sarawak buat pertama kali ke KLESF dengan memperolehi pingat emas dan gangsa dan berjaya ke final untuk Young Innovate Malaysia di Pulau Pinang.

Sebagai persediaan, peserta harus menghadiri bengkel latihan dikendalikan sukarelawan dari Curtin mempelajari cara menyelesaikan masalah secara inovatif menggunakan teknologi dan menggunapakai pemikiran reka bentuk.

Mereka juga mengikuti bengkel teknikal untuk aplikasi ‘open-source’ dan ‘microcontrollers’ yang memerlukan kemahiran dalam pengekodan, rekaan 3D, pengeluaran multimedia dan pengurusan projek.

Sebagai tambahan, mereka juga dilatih menggunakan ‘embedded systems’ dalam rekaan dan terlibat dalam aktiviti praktikal secara berpasukan, keusahawanan dan inovasi.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/05/tiga-sekolah-menengah-wakili-swak-sertai-young-innovate-malaysia-2016/