Tidak semua permohonan daftar harta intelek dilulus

Oleh Mohd Shafik Ahmad//

TAHNIAH: Para pemenang merakam kenangan bersama hadiah sambil disaksikan
Vincent (tengah).

TAHNIAH: Para pemenang merakam kenangan bersama hadiah sambil disaksikan Vincent (tengah).

KUCHING: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Cawangan Sarawak merekodkan sebanyak 1,600 permohonan pendaftaran harta intelek di negeri ini dalam tempoh lima tahun sejak 2011.

Pengarahnya Vincent Lejau berkata daripada jumlah permohonan tersebut hanya 70 peratus berjaya diluluskan.

Sementara bakinya tidak mendapat kelulusan atas beberapa sebab dan memerlu-kan permohonan itu dibuat semula.

“Dalam tempoh 2011 hingga 2015 terdapat 1,600 permohonan pendaftaran harta intelek diterima oleh MyIPO di seluruh Sarawak.

“Hanya 70 peratus diluluskan manakala bakinya tidak diluluskan,” katanya ketika ditemui media selepas penyampaian Anugerah Harta Intelek Negara 2016 di pejabat MyIPO Cawangan Sarawak di Jalan Wan Alwi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Vincent berkata penolakan pendaftaran harta intelek adalah disebabkan permohonan tidak lengkap dan kegagalan melangsaikan pembayaran pada waktu ditetapkan.

Selain itu katanya, ia juga tidak mengikut spesifikasi (tidak sama) dalam pendaftaran, menyebabkan permohonan ditolak.

“Antara permohonan terbanyak ialah di bawah pendaftaran cap dagangan berdaftar (R), hak cipta (R), rekaan dan paten,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mendorong pemain industri kecil dan sederhana (IKS) memanfaatkan dana yang disediakan oleh MyIPO.

“Kami ada menyediakan dana untuk tujuan ini, namun pemain IKS yang ingin mendapatkannya boleh membuat permohonan kerana ia berdasarkan prinsip ‘siapa cepat dia dapat’,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Harta Intelek Negara 2016 Peringkat Negeri Sarawak.

Pasukan daripada Politek-nik Kuching diumumkan sebagai juara dengan ciptaan bertajuk ‘Use of Mineral Bottle in Bitumen’ yang men-dapat 323 markah.

Manakala tempat kedua dimenangi Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri dengan 309 markah menerusi ciptaan ‘Power Air Conditioning’ (POWAC), sementara ketiga turut dimenangi Politeknik Kuching yang mengetengahkan ‘Production of Tri Colour Ink From Waste Cooking Oil and Plant Pigment Extracion’ yang memperoleh 308 markah.

Difahamkan, pemenang Anugerah Harta Intelek Negara 2016 Peringkat Negeri Sarawak akan mewakili negeri ini bertanding di peringkat kebangsaan yang dijangka berlangsung pada Ogos depan di Kuala Lumpur.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/17/tidak-semua-permohonan-daftar-harta-intelek-dilulus/