Tidak perlu guna konfrontasi dapatkan kuasa

ta04843Walaupun ditekan pembangkang untuk berkonfrontasi dengan kerajaan pusat, kerajaan negeri tetap mahu berunding

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Kerajaan negeri tidak akan menggunakan cara konfrontasi untuk memperoleh peralihan kuasa daripada kerajaan pusat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, walaupun ditekan pembangkang untuk berkonfrontasi dengan kerajaan pusat, kerajaan negeri tetap dengan pendirian menggunakan cara berunding.

“Kita tidak percaya kepada konfrontasi. Pembangkang mahu kita berdepan kerajaan pusat. Saya kata tidak dengan cara itu kerana pendekatan kita merupakan rundingan bukan konfrontasi,” katanya.

Adenan berkata demikian pada Majlis Perasmian Lapan Pakej Pan Borneo disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Eastwood Valley Golf and Country Club petang semalam.

Menurut Adenan, tentangan secara bersemuka tidak perlu antara Sarawak dan kerajaan pusat kerana kedua-duanya dipimpin parti politik yang sama.

Kedua-dua pihak turut mempunyai tujuan sama iaitu membangun dan menjaga kebajikan rakyat.

Adenan memberitahu, kerajaan pusat bersedia berunding dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan kembali kuasa dalam beberapa bidang daripada kerajaan persekutuan.

“Kita telah membuat beberapa kemajuan, kita cuma perlu masa,” tambah beliau.

Mengulas mengenai Pan Borneo, Adenan berkata pembinaan lebuh raya itu akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Selain memberi sistem perhubungan lebih baik, projek membuka

peluang ekonomi baharu kepada rakyat di sepanjang lebuh raya itu.

Adenan berterima kasih kepada Najib kerana membawa banyak projek pembangunan kepada Sarawak.

Katanya sokongan rakyat amat diperlukan agar lebih banyak projek dapat dilaksana demi manfaat rakyat dan ekonomi negeri ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/18/tidak-perlu-guna-konfrontasi-dapatkan-kuasa/