Tiba masanya Baram, Marudi dijadikan bahagian

Oleh W. Bolly Ongie//

UMUM:
Penguang (duduk, empat kanan) pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat
DADC di Marudi, semalam. Turut kelihatan (duduk, dari kiri) Edward, Mackos,
DSP Gabriel, Joseph dan Setiausaha Sulit Penguang Robin Gelau.

UMUM: Penguang (duduk, empat kanan) pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat DADC di Marudi, semalam. Turut kelihatan (duduk, dari kiri) Edward, Mackos, DSP Gabriel, Joseph dan Setiausaha Sulit Penguang Robin Gelau.

MARUDI: Sudah tiba masanya daerah Baram dan Marudi sebagai pusat pentadbirannya dipisahkan daripada bahagian Miri dan membentuk bahagian sendiri atau bahagian ke-13 di negeri ini.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil memberitahu, berikutan keluasan dan perancangan pembangunan untuk Marudi dan Baram sudah tiba masanya ia menjadi bahagian ke-13 negeri ini.

“Baram merupakan sebuah kawasan amat luas dengan populasi seramai 82,000 dan mempunyai tiga daerah iaitu Marudi, Beluru dan Telang Usan (Long Lama) untuk dibangun sama rata.

“Kita memohon (kepada kerajaan negeri) supaya Baram dan Marudi sebagai pusat pentadbirannya diangkat sebagai bahagian baharu,” katanya.

Penguang berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Komiti Pembangunan Kawasan Baram (DADC) yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Marudi di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pegawai Daerah Marudi Mackos Sibong mendapatkan profil daerah Marudi, Beluru, Telang Usan (Long Lama) bagi menyokong permohonan mereka menjadikan Baram sebuah bahagian.

“Dengan pekan Marudi mempunyai sejarah sebagai pusat pejabat semasa pemerintahan Bristih di zon utara, saya percaya Baram yang mempunyai populasi ramai akan dibangun dengan lebih cepat dan maju,” tambahnya.

Sehubungan itu, pada mesyuarat tersebut Penguang meminta semua ketua jabatan kerajaan, ketua masyarakat, ketua kampung dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini bekerjasama memastikan kelancaran pembangunan daerah Baram.

“Kita mahu semua pegawai kerajaan mengetuai jabatan masing-masing di Baram turut mempunyai prinsip untuk membangunkan Marudi menerusi pentadbiran kerajaan yang wujud hari ini.

“Pada masa sama, saya memohon kepada tuai-tuai rumah panjang supaya jangan menghasut anak-anak buah mereka melawan atau menentang polisi kerajaan sebaliknya menyokong kerajaan demi memastikan pembangunan yang dirancang menjadi kenyataan,” katanya.

Mesyuarat itu turut membincangkan dengan lanjut berhubung isu pembangunan infrastruktur membabitkan sambungan-sambungan jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik 24 jam di kawasan yang belum mempunyai kemudahan tersebut.

Ketika ditanya mengenai senarai nama kaunselor bakal membarisi Majlis Daerah Marudi (MDM), Penguang berkata buat pertama kalinya dalam sejarah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pengerusinya ialah individu yang bukan pegawai daerah.

Selama ini, jawatan pengerusi MDM dipegang terus oleh pegawai daerah Marudi tanpa membuat lantikan dari luar.

“Memandangkan pegawai daerah kini mempunyai banyak tugas dan peranannya semakin mencabar maka kita memilih seorang pengerusi yang boleh berkhidmat sepenuh masa untuk MDM supaya lebih mendekati masyarakat setempat di bawah jagaannya,” jelas beliau.

Menurut Penguang pada penggal ini, MDM menyaksikan pelantikan seramai 31 kaunselor termasuk jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi dengan 12 orang daripada PBB manakala 11 daripada SPDP, tiga daripada PRS dan lima daripada SUPP manakala tiada lantikan daripada NGO.

Pada sidang media tersebut beliau mengumumkan Pengerusi MDM ialah Edward Mendai daripada SPDP dan Timbalan Pengerusi ialah Simpson Njok Lenjau (PBB).

Turut hadir Pegawai Daerah Baram Mackos Sibong, Ketua Polis Daerah Baram DSP Gabriel Risut serta Pegawai Penerangan Daerah Baram Joseph James.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/03/tiba-masanya-baram-marudi-dijadikan-bahagian/