Tiada laporan nelayan dihalau di Beting Patinggi Ali

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika sidang media di lobi Dewan Rakyat. – Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan kejadian nelayan tempatan diusir daripada melakukan aktiviti di Beting Patinggi Ali oleh pengawal pantai China.

Beliau yang bertanggungjawab ke atas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, tiada laporan sedemikian diterima oleh agensi berkenaan.

Katanya, APMM akan mengadakan dialog dengan pihak yang mengetengahkan perkara berkenaan dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran dan kesahihan mengenai perkara itu.

“Jika ada kebenaran, tindakan susulan akan diambil menerusi Wisma Putra bagi membantah sekeras-kerasnya.

“Tindakan susulan akan dibuat selari dengan dasar kerajaan, yang mana kepentingan nelayan tempatan akan dijaga dan diberi perhatian utama,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan bahawa Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Miri, Jamali Basri memaklumkan kali terakhir nelayan tempatan mengunjungi beting itu ialah pada bulan Mei lalu, selepas mereka kerap dihalau pengawal pantai China.

Shahidan bagaimanapun menasihatkan nelayan tidak menangguhkan laporan kepada APMM sekiranya kejadian berkenaan benar-benar berlaku.

“Pihak kita juga sentiasa berhubung dengan pihak China memaklumkan pendirian tidak setuju kita terhadap kenyataan yang mendakwa kawasan perairan itu adalah milik mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata Malaysia menjalankan pemantauan secara konsisten 24 jam sehari secara berterusan sejak dua tahun lalu di gugusan Beting Patinggi Ali yang dilakukan oleh kapal dan pesawat APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sejak awal tahun sehingga kini, beliau berkata sebanyak 12 kapal asing telah diusir keluar, manakala 12 kapal nelayan Vietnam yang menceroboh ditangkap.

Rabu lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengulas mengenai isu sama berkata gugusan Beting Patinggi Ali bukanlah kawasan yang wujudnya tuntutan bertindih antara Malaysia dengan mana-mana negara.

Gugusan itu berada dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982). — BERNAMA

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/06/tiada-laporan-nelayan-dihalau-di-beting-patinggi-ali/