Tiada alasan tidak hantar anak dapat pendidikan awal

MIRI: Kerajaan mahu ibu bapa menyediakan pendidikan awal kepada anak masing-masing sama ada di tadika kerajaan atau swasta meskipun segelintirnya kurang mampu.

Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin berkata bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan, kerajaan setiap tahun menyediakan bantuan.

“Sebagai contoh kerajaan hari ini memberi bantuan sebanyak RM508.80 setiap kanak-kanak belajar di tadika swasta (Tadika Suri) bagi meringankan beban keluarga kurang mampu,” katanya pada Majlis Konvokesyen Tadika Suri di sini malam kelmarin.

Lee berkata bantuan sedemikian membolehkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka di tadika untuk mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak seusia empat hingga enam tahun.

“Ibu bapa tidak lagi mempunyai alasan tidak menghantar anak-anak ke tadika atau taska kerajaan atau swasta kerana ketika ini kerajaan telah menyediakan bantuan untuk pendidikan termasuk yuran,” katanya.

Menteri Muda Pelancongan itu memberitahu bahawa sebanyak 55 tabika swasta yang beroperasi di Miri melibatkan 4,762 kanak-kanak dan jumlah itu tidak termasuk tadika di bawah kendalian kerajaan.

“Kerajaan amat mementingkan pendidikan awal kanak-kanak dan setiap tahun kerajaan menyediakan bantuan persekolahan dari peringkat tadika hingga sekolah menengah,” katanya.

Justeru katanya, tidak kira ibu bapa terdiri daripada golongan kurang berkemampuan atau sederhana, mereka harus memberi anak mereka pendidikan awal.

ADUN Senadin itu berkata meskipun terdapat tadika swasta mengenakan yuran mahal namun kualiti tadika swasta berkenaan perlu setimpal dengan harga ditetapkan.

“Operator tadika mengenakan yuran mahal perlu mempunyai kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik, setimpal dengan harga dibayar ibu bapa,” katanya.

Turut hadir Guru Besar Tadika Suri Chiew Xin Fung dan pengerusi pengelola Majlis Konvokesyen Tadika Suri Laura Ting.

Seramai 66 kanak-kanak menerima sijil masing-masing dalam sesi konvonkesyen kali ketiga itu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/13/tiada-alasan-tidak-hantar-anak-dapat-pendidikan-awal/