Terpulang kepada pihak berkenaan

Polis serah pelancong Australia kepada tindakan imigresen dan SFC

SIDANG MEDIA: Gabriel (tiga kanan) menjelaskan mengenai Ops SAR kepada
pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Miri semalam. Turut kelihatan
ialah Gerawat (tiga kiri), Law (dua kiri) serta Mohd Ali (dua kanan).

SIDANG MEDIA: Gabriel (tiga kanan) menjelaskan mengenai Ops SAR kepada pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Miri semalam. Turut kelihatan ialah Gerawat (tiga kiri), Law (dua kiri) serta Mohd Ali (dua kanan).

// Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Polis akan menyerahkan pelancong warga Australia, Andrew James Gaskell, 25, yang selamat ditemui selepas hilang 11 hari hutan Taman Negara Gunung Mulu (TNGM) kepada Jabatan Imigresen dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan pengurusan taman negara untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Gabriel Risut mengetuai Operasi Mencari dan Menyelamat (Ops SAR) Andrew bermula 27 Oktober lalu, berkata, pihaknya sudah selesai melakukan pemeriksaan dan siasatan, langkah seterusnya akan diserahkan kepada pihak berkenaan berhubung kesalahan yang dilakukan oleh mangsa.

“Saya serahkan kepada pihak imigresen dan SFC untuk mengambil tindakan terhadap dia, termasuk pihak pengurusan TNGM, sama ada akan menyenaraihitamkan atau mencegah beliau daripada masuk ke TNGM atau taman negara lain, disebabkan tindakannya yang melanggar peraturan ditetapkan,” jelas Gabriel.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di sini semalam, Gabriel berkata Andrew telah memasuki TNGM pada awal pagi 20 Oktober tanpa diiringi oleh pemandu taman, iaitu peraturan yang diwajibkan kepada setiap pelawat taman negara tersebut, selain tidak memaklumkan kepada sesiapapun destinasi yang ditujuinya.

“Kita amat kesal dengan sikap beliau (Andrew), kerana apa yang berlaku ialah dia mengelak dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan taman seperti pelawat lain, selain tidak menggunakan laluan yang biasa digunakan oleh pelawat.

“Sebenarnya pada 19 Oktober, beliau ada mendapatkan pas masuk tetapi tidak masuk ke taman negara dan tidak mendapatkan taklimat secukupnya daripada pihak taman negara.

“Pada 20 Oktober, ketika dia keluar dari rumah Timothy (Baling) yang ditumpangnya, pada awal, kita tidak tahu mana jalan dia ambil. Saya difahamkan 22 Oktober dia telah sampai di puncak Gunung Mulu tanpa pemandu taman dan tidak menggunakan laluan yang biasa yang digunakan oleh pelawat. Oleh sebab itu orang terutama pemandu taman yang lalu lalang, langsung tidak dapat mengesan jejak dia.

“Justeru kita amat kesal dengan sikap tidak ambil peduli Andrew dalam perkara ini kerana insiden seperti ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, jika dia mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan taman negara,” ujarnya kesal.

Menurut Gabriel, dalam perjalanan balik pada 23 Oktober, menuju ke kem induk TNGM, Andrew dipercayai telah hilang di Kem 4 kerana di situ terdapat laluan sungai dan banyak laluan orang berburu, menyebabkan ia mungkin terkeliru dan seterusnya hilang arah, hingga membawa kepada Ops SAR.

Difahamkan visa lawatan Andrew (disahkan beliau dalam temu bual bersamanya) telah tamat tempohnya pada 30 Oktober lalu dan ini bermakna beliau ketika ini tinggal di Sarawak melebihi tempoh dibenar kerana sepatutnya balik ke Miri pada 24 Oktober namun, disebabkan kehilangannya di hutan dan gagal mencari jalan keluar, maka beliau tidak dapat balik seperti dijadualkannya.

Mengulas lanjut mengenai Ops SAR tersebut, Gabriel berkata sepanjang tempoh pencarian tersebut, meskipun menumpukan Ops SAR, namun pihak polis turut menumpukan kepada pelbagai aspek lain termasuk unsur-unsur jenayah (jika ada), berikutan ketiadaan sebarang petunjuk ditemui, selepas empat hari pencarian.

“Daripada penjelasan oleh Timothy (kenalan tempat beliau menumpang tidur di Mulu), dia dan Andrew kurang bercakap kerana tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, maka dia tidak begitu mengetahui destinasi sebenar hendak ditujui Andrew,” katanya sambil memberitahu pihaknya terpaksa menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 untuk memeriksa kediaman Timothy seterusnya penduduk di Batu Bungan, kerana mangsa difahamkan ada bermain bola bersama penduduk kampung sebelum dia memasuki taman negara pada hari berikutnya, 20 Oktober.

Menceritakan detik penemuan mangsa, Gabriel berkata pasukan SAR 4 berjaya menemukan Andrew dalam keadaan terbaring tidak bermaya dan lemah, di satu kawasan terlindung berhampiran air terjun di hulu Sungai Paku iaitu di laluan menuju ke Sarawak Chamber dan Kem 4, pada jam 12.30 tengah hari, 1 November lalu.

“Kawasan tempat dia ditemui adalah kawasan berair dan ia menyukarkan lagi pergerakannya disebabkan kakinya cedera kerana melecet dan terdapat banyak luka dan sudah dimasuki ulat.

“Ketika ditemui mangsa memang dalam keadaan amat lemah kerana sudah kehabisan sumber bekalan makanan dan menurut pasukan SAR menemukannya, pandangannya sudah mulai kabur dan dia mengakui hanya mampu melakukan beberapa langkah dan kemudian berhenti rehat sebelum menyambung perjalanan,” katanya dan Andrew ditemui terbaring di kawasan itu setelah tidak larat untuk melangkah lagi.

Katanya, semua pihak termasuk bapa, adik dan rakannya yang turut serta mencari bersama sebuah lagi pasukan SAR, turut menarik nafas lega, apabila pasukan SAR 4 memaklumkan dalam radio, bahawa mangsa berjaya ditemui dan masih hidup.

“Andrew berjaya dinaikkan menggunakan kaedah ‘winching’ ke atas helikopter bomba, pada jam 1.05 petang sebelum dibawa terus ke Lapangan Terbang Mulu untuk diperiksa oleh pegawai perubatan menunggu, sebelum ia dibawa ke Hospital Miri kerana keadaannya agak kritikal dan lemah,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Gabriel berkata bagi pihak polis dan Pesuruhjaya Polis Negeri Sarawak, mereka amat berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pasukan MUST dan STORM, Platun Tiger, Unit K9, SFC, kakitangan dan pihak pengurusan TNGM dan lebih-lebih lagi kerjasama serta sokongan yang dihulurkan oleh penduduk kampung Long Imam dan Batu Bungan dalam menjayakan Ops SAR itu.

Katanya operasi tersebut tidak akan berjaya tanpa komitmen semua pihak, lebih-lebih lagi dengan kesukaran komunikasi di kawasan tersebut.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala; Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Mohd Ali Bahudin; Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong serta Ketua Kaum Mulu Edmund Abang.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/03/terpulang-kepada-pihak-berkenaan/