2.40 petang: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, memberi jaminan sebarang keputusan diambil Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung kemelut politik Malaysia adalah demi kepentingan negara. Abang Johari berkata, GPS menetapkan keputusan itu tanpa mengorbankan hak dan kepentingan negeri serta rakyat Sarawak. Beliau berkata demikian dalam kenyataan diedarkan kepada media pada Majlis Amanat Integriti di Miri.
2 petang: Kumpulan 11 bekas Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan bersama menyatakan sokongan kepada usaha rekonsiliasi nasional di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Usaha rekonsiliasi nasional itu dipercayai merujuk kepada percaturan mewujudkan kerajaan campuran membabitkan beberapa parti tertentu.
1.43 tengah hari: 40 Ahli Parlimen DAP tiba di pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur dengan menaiki bas dan dua kereta.
1.40 tengah hari: Tun Dr Mahathir Mohamad memuat naik gambarnya mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai atasan Kementerian Kewangan mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi.
1.35 petang: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan menamakan pemimpin parti itu sebagai Perdana Menteri ke-8 dalam dokumen (Akuan Bersumpah) yang ditandatangani.
1.19 tengah hari: Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew, berkata beliau menandatangani akuan bersumpah menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8. Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh juga yakin PKR yakin mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan. Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan PKR hari ini.
1 tengah hari: Semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini diminta menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, jam 2 petang ini. Difahamkan, lokasi perjumpaan itu akan diadakan di Bukit Timbalan, di sini. Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang, ketika dihubungi mengesahkan menerima notis jemputan menghadap itu.
12.59 tengah hari: Keadaan pekarangan Istana Negara agak gamat apabila beberapa Ahli Parlimen daripada PKR bertindak keluar daripada bas dinaiki mereka untuk bertemu kumpulan penyokong parti itu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan penyokong PKR selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di luar perkarangan Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
12.47 tengah hari: Kumpulan Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan masuk ke Istana Negara, Kuala Lumpur menggunakan Pintu 3, pada jam 12.47 tengah hari tadi. Selang seminit kemudian, kumpulan Ahli Parlimen daripada PKR, diketuai Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim beredar meninggalkan Istana Negara.
12.20 tengah hari: Lima kenderaan membawa wakil rakyat, termasuk Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen daripada WARISAN, Darell Liking dilihat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darrel Liking tiba di luar perkarangan pintu Istana Negara 2 di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
12 tengah hari: Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dilihat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada jam 12 tengah hari tadi. Beliau diiringi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayob; Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
11.58 pagi: 10 lagi kenderaan dipercayai membawa Ahli Parlimen dilihat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur.
11.56 pagi: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dilihat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Kota Raja, Muhamad Sabu tiba di luar perkarangan pintu Istana Negara 2 di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
11.20 pagi: Menteri Besar Kedah yang juga Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara di Kuala Lumpur.
11.05 pagi: Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memasuki pintu masuk utama bangunan Putra Perdana, Putrajaya, selepas pulang daripada menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Syed Saddiq memasuki Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
11.05 pagi: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara di Kuala Lumpur.
10.40 pagi: Semua Ahli Parlimen daripada PKR tiba di Istana Negara di Kuala Lumpur menaiki bas dan diiringi 10 kenderaan.
Ahli Parlimen PKR tiba dengan menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan pintu Istana Negara 2 untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Ahli Parlimen PKR tiba dengan menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan pintu Istana Negara 2 untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Ketibaan kumpulan Ahli Parlimen PKR itu disambut laungan reformasi daripada penyokong parti itu yang turut hadir di pekarangan Istana Negara.
10.27 pagi: Empat kenderaan dipercayai membawa Ahli Parlimen dilihat memasuki Istana Negara di Kuala Lumpur
Sebahagian daripada 2,000 penyokong Pakatan Harapan berhimpun di pintu masuk Kompleks Seri Negeri untuk menyokong Adly Zahari kekal memimpin kerajaan negeri. - NSTP/Hassan Omar
9.10 pagi: Ketibaan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di pintu masuk Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, disambut kira-kira 2,000 penyokong Pakatan Harapan (PH) yang berhimpun sambil melaungkan slogan ‘reformasi’ dan ‘hidup Adly.’ Adly akan menghadiri pertemuan dengan Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/659378/terkini-kronologi-kemelut-politik-negara