Tenggiling tersesat masuk pekarangan rumah diselamatkan

MIRI: Seekor tenggiling yang berada dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan, ditemui tersesat memasuki pekarangan sebuah kediaman, di sini, semalam.

Menyedari tenggiling adalah antara spesies hidupan liar dilindungi, seorang lelaki berusia awal 20-an yang tinggal di rumah terbabit menghubungi Sarawak Forestry Corporation (SFC) Miri untuk menyelamatkan haiwan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton, memuji sikap prihatin dan tindakan bijak lelaki terbabit kerana membantu usaha menyelamatkan hidupan liar di negeri ini.

“SFC memuji sikap dan inisiatif pantas lelaki terbabit yang terus menghubungi pihak kami tanpa mengambil tindakan sendiri atau menyimpan tenggiling itu sebagai haiwan peliharaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pegawai SFC kemudian membawa tenggiling itu ke Pejabat Wilayah Miri (MRO) untuk diberi rawatan dan perlindungan sebelum dibebaskan ke habitat asalnya.

“Orang awam yang terlihat spesies haiwan dilindungi sama ada di kawasan kediaman atau luar rumah, diseru agar membiarkan hidupan liar itu terus bebas di habitat asalnya dan boleh menghubungi talian SFC di kawasan masing-masing bagi membolehkan pelaksanaan kerja menyelamatkan spesies haiwan dilindungi,” katanya.

Talian boleh dihubungi ialah SFC Kuching (019-8859996 / 013-8110150), Sibu (019-8883561), Bintulu (019-8223449 / 019-8332737) dan Miri (019-8224566 / 019-8290994).

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/07/712794/tenggiling-tersesat-masuk-pekarangan-rumah-diselamatkan