Temui ajal ketika mesin rumput


(bharian.com.my) #1

MIRI: Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika dia memotong rumput di bahu jalan di Kilometer 54, Jalan Miri-Bintulu di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, mangsa Meli Manggong, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata mangsa yang sedang memotong rumput di bahu jalan dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Nissan Navara dipandu lelaki berusia 60 tahun.

Katanya, siasatan mendapati, pemandu terbabit dari arah Bintulu menuju ke Miri sebelum dia gagal mengawal kenderaannya ketika mengelak sebuah van yang diparkir di tepi jalan.

"Ini menyebabkan kenderaan dipandu lelaki berkenaan terbabas lalu merempuh mangsa yang ketika itu memotong rumput.

Mangsa maut serta-merta akibat rempuhan manakala pemandu terbabit tidak cedera," katanya sambil menambah mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum dituntut warisnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/05/426466/temui-ajal-ketika-mesin-rumput