Tebingan Kampung Pangkalan Lutong bakal berwajah baharu

MENARIK: Konsep idea Tebingan Kampung Pangkalan Lutong.

MENARIK: Konsep idea Tebingan Kampung Pangkalan Lutong.

MIRI: Peruntukan berjumlah RM500,000 diperlukan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk memberi wajah baharu kepada kawasan Tebingan Kampung Pangkalan Lutong di sini sebagai pusat rekreasi tebingan sungai moden.

Datuk Bandar MBM Lawrence Lai berkata usaha menaik taraf tebingan sungai kampung itu bukan sahaja mampu menambah tarikan di Lutong malah Miri dalam mencapai visinya sebagai bandar raya peranginan dan hijau.

Beliau menambah, dana projek itu adalah geran kerajaan negeri berjumlah RM10 juta yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semasa sambutan Hari Bandar Raya Miri Ke-10 Mei lalu.

“Geran diperuntukkan kepada MBM akan digunakan untuk memantapkan kemudahan pelancongan dan keselamatan di sini.

“Justeru, kami mencadangkan agar sebahagian geran itu digunakan untuk projek ‘waterfront’ di Kampung Pangkalan Lutong,“ katanya.

Lawrence berkata, cadangan projek itu antara usaha MBM menambah jumlah taman rekreasi di sini yang dilengkapi dengan kemudahan mesra alam.

Beliau berharap usaha menaik taraf kawasan tebingan Kampung Pangkalan Lutong akan menghidupkan semula penganjuran pelbagai aktiviti sukan air dan regata yang popular pada era 80-an.

“Projek itu dibangunkan secara berperingkat termasuk pembinaan benteng sungai, laluan pejalan kaki dan landskap. Ia dilaksanakan setelah mendapat kelulusan pihak atasan,” jelas Lawrence.

Tentang projek menaik taraf Taman Bulatan Miri, geran RM500,000 disumbangkan oleh Jabatan Landskap Negara diluluskan semasa lawatan sambil belajar rombongan MBM tahun ini ke jabatan tersebut dan beberapa kementerian serta agensi berkaitan pengurusan dan perancangan kawasan bandar.

Lawrence berkata, kerja menaik taraf melibatkan kawasan permainan kanak-kanak, taman trafik laluan berbasikal, laluan refleksologi dan papan tanda selamat datang.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/29/tebingan-kampung-pangkalan-lutong-bakal-berwajah-baharu/