Tayar belakang meletup, 144 termasuk anak kapal AirAsia selamat

SIBU: Pesawat A320 AirAsia tidak dibenar berlepas di Lapangan Terbang Sibu pada malam kelmarin (Khamis) selepas tayar belakang meletup sebaik sahaja mendarat kira-kira 7.20 malam.

Pengurus Malaysia Airport Berhad Sibu Zainuddin Abu Nasir berkata, kesemua 138 penumpang serta enam anak kapal penerbangan AK6440 itu tidak mengalami kecederaan dan pesawat tidak dibenar berlepas setelah diarah ke ‘Bay 3’ sebaik sahaja mendarat.

Beliau berkata, kejadian itu mengakibat satu unit lampu di tepi landasan mengalami kerosakan, namun ia tidak menjejas jadual lain-lain penerbangan malam kelmarin.

“Pesawat sudah diletakkan di ‘open bay’ kami dan sedang dibaiki manakala lampu landasan sudah ditukar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata penumpang sepatutnya menaiki penerbangan Sibu-Kuching pada 7.50 malam, terpaksa menunggu sebuah pesawat AirAsia lain yang dijangka berlepas awal pagi semalam.

Menurutnya punca insiden masih dalam siasatan.

Sementara itu, difahamkan kejadian tersebut mengakibatkan kelewatan selama beberapa jam bagi dua lagi penerbangan iaitu MH3383 ke Kuching dan MH3660 ke Miri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/18/tayar-belakang-meletup-144-termasuk-anak-kapal-airasia-selamat/