Tambahan 13 hospital di Sarawak buat saringan COVID-19

PUTRAJAYA: Sebanyak 18 hospital di Sarawak kini sudah boleh menjalani saringan kesihatan COVID-19 berbanding lima hospital sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata selain itu sebanyak empat hospital sudah dikenal pasti sebagai pusat rawatan COVID-19 iaitu di Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Bintulu dan Hospital Sibu dengan jumlah 736 katil dikhaskan kepada pesakit COVID-19.

"Hospital yang dinyatakan ini dilengkapi dengan 63 katil rawatan kritikal dengan 112 mesin bantuan pernafasan (ventilator). Selain itu, terdapat lima fasiliti yang sudah dikenal pasti sebagai pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah dengan kapasiti 901 katil.

"Kini terdapat empat makmal yang boleh menjalankan ujian pengesahan COVID-19 iaitu di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Miri, dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Secara keseluruhannya, jumlah ujian pengesahan yang dapat dijalankan di empat makmal ini adalah 898 ujian, dan ini akan dipertingkatkan ke 1,040 ujian sehari,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/683551/tambahan-13-hospital-di-sarawak-buat-saringan-covid-19