Tak sempat bertemu orang dinanti

BINTULU: Seorang lelaki rebah sebelum meninggal dunia ketika menunggu ketibaan isterinya di Pasar Utama Bintulu di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, lelaki berkenaan dikatakan menunggu isterinya yang dalam perjalanan dari Bandaraya Miri, di pasar berkenaan.

Difahamkan, mangsa sempat berbual dengan beberapa rakan di tempat kejadian sementara menunggu isterinya sebelum rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, ketika mengesahkan kejadian berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Tay Kui Chai berusia dalam lingkungan 50-an.

“Mangsa dilihat duduk di hadapan Jeti Ikan Pasar Utama Bintulu sambil berbual dengan beberapa rakannya, sebelum rebah dan pengsan.

“Orang ramai yang melihat kejadian terus menghubungi talian kecemasan meminta bantuan.

“Petugas paramedik dari Hospital Bintulu yang menjalankan pemeriksaan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/01/521879/tak-sempat-bertemu-orang-dinanti