Tahap kesedaran ketika berdepan situasi cemas perlu dipertingkat

MIRI: Seorang lelaki cedera di kaki manakala rakan sekerjanya mengalami cedera ringan dalam kejadian kebakaran bangunan Wisma Technip, di sini kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Penolong Penguasa Bomba Miri Maureen Sim yang berada di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa terperangkap di tangga tingkat dua bangunan terbabit.

Kejadian kebakaran ini berlaku di tingkat dua bangunan dan siasatan awal mendapati ia disebabkan kebakaran sampah, sementara dua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan, katanya di sini semalam.

Sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Lopeng bersama lapan anggota menggunakan dua jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Begitupun, kejadian tersebut hanya latihan kebakaran bagi orang awam agar sentiasa bersiap sedia menghadapi kes-kes membabitkan kebakaran dalam bangunan.

Sementara itu, Maureen mengingatkan orang awam yang bekerja dalam bangunan agar peka dengan loceng kecemasan dan terus keluar dari bangunan.

Secara umumnya latihan yang kami adakan menyaksikan tahap kesedaran orang awam apabila mendengar loceng kecemasan masih rendah dan perlu dipertingkatkan, katanya.

Mengulas perkara sama, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Henry Jugah berkata tahap kesedaran orang awam ketika berdepan situasi cemas perlu dipertingkatkan.

Kami mendedahkan orang awam tentang langkah awal ketika berdepan situasi kecemasan sejak kecil, namun terdapat segelintir masih belum peka apabila mendengar loceng kecemasan, ujarnya.

Henry yang juga pegawai operasi berkata, latihan yang diadakan itu merupakan aktiviti tahunan khas anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng.

Dalam latihan itu, anggota bomba turut mengadakan latihan menyelamat mangsa kebakaran selain para pekerja diajar menggunakan alat pemadam api.

Pada masa sama, ini merupakan latihan mengemaskini pengetahuan dan kemahiran orang awam khususnya dalam mencegah kebakaran.