Swasta penting hidupkan imej pelancongan Miri

Oleh Steve Annuar//

MIRI: Penyertaan aktif sektor swasta amat diperlukan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk menghidupkan industri pelancongan bandar raya ini.

Datuk Bandar Adam Yii menyifatkan kerjasama swasta sebagai penggerak utama memacu potensi pelancongan Miri dengan menganjurkan pelbagai program promosi dan aktiviti ekonomi mengangkat imej Miri.

“Kita di sektor awam dan kerajaan hanya membantu dalam menyediakan infrastruktur. Daya penggerak utama adalah sektor swasta,” katanya ketika merasmikan Pameran Perdagangan Miri (MITRAF) kali ke-12 di Permaisuri Imperial City Mall (PICM) petang semalam.

Beliau berbangga dengan kejayaan MITRAF yang berjaya selama ini berjaya, membantu mempromosikan produk perniagaan dan perkhidmatan kepada penduduk termasuk pelancong negara Brunei Darussalam.

Ia dianggap sebagai antara aktiviti ekonomi penting untuk Miri yang secara tidak langsung mempromosikan Miri kepada orang luar.

MITRAF adalah anjuran See Hua Marketing (SHM) Sdn Bhd dengan kerjasama kompleks beli-belah PICM dan The Imperial Mall, diadakan selama empat hari.

Hadir sama ialah Pengurus SHM Miri, Wong Kee Mee, Pengurus Pemasaran SHM, Chua Chuen Chai, Pengerusi Penganjur, Money Chieng, Pengarah Urusan United Fusion Sdn Bhd, Tiong Sie Miew, Pengarah Kewangan CL Khoon Electronics Sdn Bhd, Ho Chong Fung, Pengarah Urusan Boulevard Hypermarket & Departmental Store Sdn Bhd, Raymond Lim, Pengurus Acara dan Pemasaran PICM dan Imperial Mall, Eric Jong dan Pengurus PICM dan Imperial Mall, Derek Ling.

MITRAF kali ini disertai 90 pengusaha dan syarikat mempamer jual pelbagai produk dan perkhidmatan seperti elektronik, perabot, peralatan dapur, pembaikan rumah, peralatan bilik tidur, pembangunan hartanah, penyelenggaraan, perancangan kewangan, teknologi maklumat, perundingan pengajian tinggi, barangan pengguna, fotografi pengantin, solusi keselamatan, robotik, produk pengurusan badan, kraftangan, minuman, makanan, kek dan pastri.

Turut diadakan ialah ekspo kosmetik dan kecantikan disertai 16 pengusaha mempromosikan produk kosmetik serta perkhidmatan pemeriksaan kecantikan dan tubuh badan untuk wanita.

Menerusi program ‘Reader Benefits Giveaways’ pembangunan akhbar See Hua Group boleh menebus satu hadiah dengan mengemukakan resit langganan terkini tiga bulan dari 16 September hingga 16 Disember atau resit tahunan.

Program ini mendapat kerjasama Boulevard Hypermarket and Departmental Store Imperial Miri.

Hadiah juga diberikan kepada pemilik kad Boulevard Family serta pengunjung yang berdaftar sebagai ahli baharu kad ini.

Untuk pembelian minimum RM50, barangan `purchase with purchase’ disediakan untuk setiap pembelian di kaunter See Hua.

Aktiviti semalam dimulakan dengan persembahan nyanyian dari Pusat Khidmat Warga Emas Miri dan bicara kesihatan tentang kecacatan pendengaran.

Pada sebelah malamnya bermula jam 6 petang, pengunjung menyaksikan pertandingan karaoke terbuka.

Program hari ini (Jumaat) dimulakan dengan bicara kesihatan oleh Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Kuan Yuan Gua Sua bermula jam 2 petang, diikuti persembahan nyanyian oleh Xiao Dou Ya dari Pertubuhan Muzikal Miri, taklimat produk katil King Koil pada jam 7 malam, pertunjukan pengantin Plus T dan persembahan nyanyian dari artis tempatan, Justine Ngui dan Xiao Dou Ya pada jam 8 malam.

Pada Sabtu, bermula jam 10.30 pagi, aktiviti Boulevard Rush selama dua jam diadakan di Boulevard Hypermarket & Departmental Store The Imperial Mall.

Untuk kanak-kanak, mereka berpeluang menemui maskot kartun kegemaran seperti Sheriff Woody, Buzz Lightyear, Olaf, Bear Larso dan Santa Clause semasa sesi Christmas Is Coming daripada 12 tengah hari hingga 9 malam dipersembah Naja Enterprise.

Yuran penyertaan ialah RM5 dan 500 pengunjung terawal `early birds’ akan menerima topi percuma.

Dua sesi demonstrasi membuat pastri menggunakan ketuhar gelombang mikro serba guna Teka akan diadakan di gerai United Fusion pada jam 4 petang dan 7 malam.

Pada hari Ahad bermula jam 10 pagi diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak diikuti demonstrasi membuat sabun dan kosmetik dikendalikan wakil Universiti Chao Yang dari Taiwan.

Sesi demonstrasi membuat pastri sekali lagi dikendalikan di gerai United Fusion pada jam 2 petang.

Tarikan lain ialah pertandingan robotik Piala Pusingan Datuk Sebastian Ting pada jam 3 petang dan pertandingan pakaian beragam Hari Krismas pada jam 6 petang sebelum acara terakhir iaitu cabutan tiket bertuah pada 8.30 malam.

Pengunjung berbelanja minimum RM300 untuk deposit atau tempahan untuk kenderaan motor atau hartanah atau berbelanja RM100 boleh mendaftar nama mereka di kaunter See Hua untuk cabutan hadiah bertuah

Sebanyak 33 hadiah lumayan boleh dimenangi yang antaranya, tiga tilam King Koil ditaja oleh Sistem Home Concept, tudung periuk Dragonfly ditaja oleh United Fusion, ang pau RM888 dan vakum Panasonic.

MITRAF mendapat sokongan MBM yang terbuka untuk kunjungan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam. United Fusion Sdn Bhd dan CL Khoon Electronics Sdn Bhd merupakan penaja utama MITRAF.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/02/swasta-penting-hidupkan-imej-pelancongan-miri/