Suspek kes tembak Kayong direman lanjut enam hari

MIRI: Mahkamah Majistret memerintahkan seorang dari­pada tiga suspek yang diburu polis berhubung kes tembak mati pemimpin PKR Miri, Bill Kayong supaya direman lanjut enam hari lagi untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan reman lanjut yang dikemukakan pegawai penyiasat ASP Lee Chee Keat dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Lee memohon agar suspek direman selama tujuh hari lagi mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah meman­dangkan siasatan awal polis masih belum dapat disiapkan dalam tempoh lima hari.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman enam hari ke atas suspek dan tempoh reman tersebut akan tamat pada 29 Ogos ini.

Pada 19 Ogos lalu, suspek yang berusia 50 tahun dari dari Lorong 5, Krokop di sini diperintahkan supaya direman lima hari dan tem­poh reman tersebut tamat semalam.

Berdasarkan permohonan reman terdahulu, pada jam 8.53 pagi, 21 Jun tahun ini, seorang anggota yang ber­tugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Miri ada menerima panggilan telefon daripada orang awam.

Pemanggil memaklum­kan ada sebuah kenderaan jenis Hilux berwarna putih dengan nombor pendaftaran QMU6462 diletakkan di tepi jalan dekat lampu isyarat Emart.

Terdapat kesan dipercayai kena tembakan pada cermin kenderaan tersebut.

Bertindak atas maklumat diterima, pada jam 4.50 petang, 18 Ogos lalu, polis telah menangkap suspek di pekarangan Balai Polis Pusat Miri setelah datang menyerah diri.

Suspek ditangkap ker­ana disyaki terlibat dalam kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/24/suspek-kes-tembak-kayong-direman-lanjut-enam-hari/