SUPP sumbang RM20,000 tampung kos bina parkir Masjid At Taqwa Miri

MIRI: Jawatankuasa Masjid At Taqwa Miri menerima geran RM20,000 daripada kerajaan pusat bagi menampung kos pembinaan parkir motosikal dan tapak jualan.

Cek disampaikan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau Datuk Sebastian Ting semasa lawatan ke masjid berkenaan pagi kelmarin.

Sebastian berkata, sumbangan itu merupakan dana khas daripada kerajaan pusat yang diterima beliau pada minggu lalu.

Pengerusi Masjid At Taqwa Miri Hamzah Dadu berkata, parkir motosikal telah lama dicadangkan oleh jemaah kerana kawasan masjid tidak mempunyai kawasan parkir khas untuk pengguna motosikal.

“Laluan masuk masjid akan dipenuhi kenderaan khasnya ketika solat Jumaat dan sepanjang bulan Ramadan.

“Pemilik motosikal akan meletak motosikal masing-masing di tepi jalan kerana tidak mempunyai parkir khas untuk mereka, “ jelasnya.

Beliau memberitahu, masjid membina tempat parkir motosikal sepanjang 110 kaki dengan saiz lebar lebih 20 kaki untuk kegunaan jemaah.

Kerja pembinaan projek bernilai RM25,000 itu melibatkan pembinaan bumbung sepanjang 50 kaki telah dimulakan pada bulan Disember dan siap pada bulan Januari lalu.

Kerja mengecat termasuk mengecat lot parkir akan dibuat dalam tempoh terdekat ini.

“Kawasan ini juga sesuai untuk dijadikan tapak jualan jika ingin menganjur jualan amal,” jelas Hamzah.

Turut hadir Pengerusi SUPP Pujut Adam Yii dan Penghulu Abdul Samad Alip.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/19/supp-sumbang-rm20000-tampung-kos-bina-parkir-masjid-at-taqwa-miri/