SUPP belum hantar nama calon datuk bandar Miri

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Rakyat (SUPP) belum menghantar nama calon jawatan datuk bandar Miri yang bakal tamat tempoh perkhidmatan pada 30 Jun depan.

Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting berkata pihaknya belum berbincang tentang perkara terbabit (jawatan datuk bandar Majlis Bandaraya Miri) ketika ini.

“Bagaimanapun kami akan berbincang tentang perkara itu kelak namun sehingga kini kami belum menghantar nama untuk mengisi kekosongan jawatan itu,” katanya di sini, semalam.

Lawrence Lai yang memegang potfolio itu selama hampir 10 tahun, akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Jun depan sementara timbalannya Mohd Chee Kadir menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kabong.

Terdahulu, Sebastian Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau turut menghadiri Majlis Tahlil Arwah dan Menyambut Ketibaan Ramadan Al-Mubarak di Wisma Amal, Miri semalam. Hadir sama ialah Temenggung Abdul Rahman Fadzil.

Sebastian berkata SUPP Piasau akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan antara agenda akan dibincang ialah jawatan datuk bandar.

Pada 24 Mei lalu, beberapa pertubuhuan bukan kerajaan serta ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu mahu jawatan itu diisi PBB ekoran parti itu banyak membantu kemenangan Barisan Nasional.

Bagaimanapun, ia hanya pendapat umum pihak tertentu sebaliknya keputusan untuk mengisi kekosongan jawatan datuk bandar masih di peringkat perbincangan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/29/supp-belum-hantar-nama-calon-datuk-bandar-miri/