'Sungai bukan tong sampah'

MIRI: Sungai Miri dan Sungai Lutong terus dijadikan tempat pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus menyukarkan usaha memulihkan kebersihan sungai berkenaan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, berkata sikap pengotor masyarakat terbabit menyebabkan banyak sisa plastik, botol dan sebagainya terapung di sungai itu.

Beliau berkata, usaha pihak berkuasa tempatan membersihkan Sungai Miri dan Sungai Lutong tidak akan mencapai sasaran selagi masyarakat bersikap sedemikian.

“Berhenti menjadi masyarakat pengotor kerana sungai berkenaan bukan tong sampah yang boleh dijadikan tempat pembuangan.

“Masih ramai penduduk Miri menjadikan sungai tempat pembuangan sampah sedangkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) sudah menyediakan tong sampah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, kedua-dua sungai berkenaan pernah disenaraikan sebagai antara 10 sungai tercemar di Sarawak.

Hasil penganjuran kempen kebersihan sungai, katanya, sungai berkenaan kemudian terkeluar daripada senarai itu.

Beliau menegaskan, sungai dan pantai yang tercemar dengan longgokan sampah akan menjejaskan imej Miri sebagai bandar raya pelancongan.

“Penjagaan kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan bukan terletak di bahu agensi kerajaan saja,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/12/634316/sungai-bukan-tong-sampah

© Copyright 2006-2018 MiriCommunity.net · A JacksonLiaw.com project.