Suburkan jiwa anak dengan didikan agama: Hasbi

Anak perlu diajar membaca, memahami mesej yang disampaikan al-Quran sejak peringkat awal lagi

Oleh Mastura Ismail //

LIMBANG: Ibu bapa dan warga pendidik mempunyai tanggungjawab besar yang harus digalas dalam memberi didikan agama termasuk menyubur minat membaca al-Quran dalam jiwa anak.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata pengisian kerohanian dalam pemahaman dan pembacaan al-Quran merupakan satu tuntutan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Beliau berkata, anak perlu diajar membaca al-Quran seterusnya memahami mesej yang dibawanya sejak dari peringkat awal lagi.

“Anak perlu diajar dan dididik dengan pemahaman dan pembacaan al-Quran termasuk memberi galakan mendekati Allah,” katanya pada Program Malam Dambakan Cinta Rasul di Dataran Muafakat Sekolah Kebangsaan Limbang malam kelmarin.

Turut sama ialah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Limbang Mohamad Tangah, Timbalan PPD Limbang Suraya Habibollah dan Guru Besar SK Limbang, Kartini Hasbollah.

Hasbi berkata lagi generasi baharu seharusnya didedahkan dengan pengetahuan agama selain pendidikan akademik agar mereka mampu berhadapan dunia masa kini.

Katanya, program julung kali diadakan di daerah ini akan menjadi program tambah nilai untuk melahirkan anak-anak modal insan yang berkualiti dan mempunyai jati diri.

Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Miri Ustaz Jamaluddin Taim merupakan penceramah jemputan yang hadir memeriahkan majlis itu.

Program Malam Dambakan Cinta Rasul diadakan untuk menanam perasaan cinta mendalam kepada Rasulullah SAW , membudayakan zikir dan selawat dalam kalangan warga sekolah dan mengajak para muslimin dan muslimat untuk berselawat dengan kaedah yang lebih interaktif.

Lebih 800 orang turut serta dalam program tersebut yang terdiri daripada ibu bapa, pelajar dan orang ramai.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/23/suburkan-jiwa-anak-dengan-didikan-agama-hasbi/