Suami isteri antara 21 diberkas terlibat judi haram

MIRI: Sepasang suami isteri antara 21 individu berjaya diberkas polis hasil serbuan di sebuah premis disyaki menjalankan kegiatan perjudian atas talian secara haram di Estet Perindustrian Piasau di sini petang semalam.

Semua suspek berusia antara 23 hingga 58 tahun itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis diketuai Inspektor Koay Kok Ping melakukan serbuan ke sebuah premis terletak di kawasan Estet Perindustrian Piasau di sini kerana disyaki menjalankan kegiatan perjudian secara atas talian tanpa mempunyai lesen sah.

Dalam serbuan dilakukan sekitar jam 4.30 petang itu, polis menangkap 21 orang terdiri daripada 17 lelaki dan empat wanita termasuk sepasang suami isteri.

Semasa serbuan dibuat, polis merampas 10 unit komputer dan wang tunai RM130 untuk dijadikan barang kes.

Manakala mereka ditangkap terdiri daripada penjaga premis dan pelanggan.

Semua ditangkap merupakan penjaga premis dan pelanggan.

Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001.