STA, PUSAKA sumbang RM195,000 kepada sekolah luar bandar

MIRI: Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM195,000 kepada sekolah-sekolah luar bandar di sini.

Pengurus Besar PUSAKA Datu Sarudu Hoklai berkata STA melalui anak syarikatnya, STA Mutual Sdn Bhd bekerjasama dengan PUSAKA sejak 2012 menyalurkan dana kepada sekolah-sekolah luar bandar Sarawak.

“Sumbangan bernilai RM2,000 setiap sekolah menengah dan RM1,000 untuk sekolah rendah pedalaman Sarawak diharap dapat meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Teks ucapannya disampaikan oleh wakilnya, Hamzah Morshidi pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kewangan STA Mutual Sdn Bhd kepada sekolah-sekolah di Miri, Baram dan Subis semalam.

Sarudu memberitahu, sejumlah RM118,000 disalurkan kepada 96 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah di bahagian Mukah.

Sementara bagi bahagian Bintulu, sejumlah RM81,000 disalurkan kepada 59 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah dengan jumlah keseluruhan sumbangan ialah RM199,000.

“Hari ini, kami menyerahkan sumbangan sejumlah RM195,000 yang memberi manfaat kepada 167 sekolah di bahagian Miri,” katanya.

Daripada jumlah itu, Miri menerima sumbangan berjumlah RM66,000, Baram menerima RM79,000 sementara Subis menerima RM50,000.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif STA Mutual Sdn Bhd Dr Peter Kho dan Pegawai Daerah Miri Sharifah Rafidah Wan Razali.

Sementara itu, PUSAKA melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya kepada masyarakat menerusi anak-anak syarikatnya sejak 20 tahun lalu dengan kerjasama pihak swasta seperti STA Mutual Sdn Bhd.

Sumbangan dana kewangan terbabit diharap dapat menampung keperluan terutama sekolah-sekolah luar bandar yang menerima kesan daripada kegiatan pembalakan.

Pada masa sama ia dapat membantu memperkembang dan memberi semangat kepada pelajar-pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan melalui penambahan keperluan asas pembelajaran.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/24/sta-pusaka-sumbang-rm195000-kepada-sekolah-luar-bandar/