St Teresa Chapel Ulu Sibuti terima geran RM200,000

MIRI: St Teresa Chapel di Rumah Lagan, Ulu Sibuti dekat sini menerima geran berupa projek kecil luar bandar berjumlah RM200,000 bagi membina bangunan gereja kecil atau chapel baharu mengganti yang lama serta usang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat semasa mengada lawatan ke tapak chapel di Ulu Sibuti semalam memberitahu, bangunan baharu dibina pada tapak sama, berhampiran bangunan lama chapel berkenaan.

Dengan adanya bangunan baharu itu kelak, beliau berharap penganut Kristian di rumah panjang itu dan sekitarnya bakal mempunyai rumah ibadah lebih kukuh dan selesa, berbanding sedia ada.

Sementara itu, lebih banyak projek transformasi untuk kawasan luar bandar akan dilaksanakan di Lambir sekali gus menjadikan konstituensi ini lebih berdaya saing, jelas beliau.

Hadir sama mengiringi beliau ialah Setiausaha PBB Lambir Abdul Rahim Ungsang, Ketua Masyarakat Iban Miri Pemanca Wilson Siang Lim, Ketua Kaum Rumah Lagan Tuai Rumah Lagan Dinggat serta Tuai Rumah Insin Pak.

Menurut Ripin, kerajaan sudah meluluskan projek pembinaan gelanggang sepak takraw di Rumah Lagan, bagi memenuhi keperluan golongan muda dari rumah panjang melakukan aktiviti sukan dan riadah.

Gelanggang ini juga dibina bagi kemudahan perlawanan sukan sama ada sepak takraw atau lain-lain yang boleh dilakukan di gelanggang ini.

Bukan sahaja keperluan penduduk rumah panjang tetapi rumah panjang lain serta estet kelapa sawit sekitarnya, jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Ripin turut menyampaikan geran berjumlah RM150,000 untuk menaik taraf gelanggang bola tampar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tukau di Lambir.

Ripin berharap gelanggang baharu dinaik taraf kelak membantu menceriakan murid sekolah di samping menggalak mereka mengadakan latihan serta mempertingkatkan kemahiran dalam sukan sekali gus melahir atlet sukan berkualiti dan cemerlang.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/03/31/st-teresa-chapel-ulu-sibuti-terima-geran-rm200000/