SPDP mahukan kerusi DUN baharu Mulu

SPDP juga mempunyai calon berkelayakan serta mampu memenangi kerusi tersebut untuk BN

Oleh Sujang Ajang //

MIRI: Jawatankuasa Protem Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bahagian N78 Mulu sekali lagi menegaskan bahawa konstituensi baharu itu wajar diberi kepada mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya Dr Roland Dom Mattu berkata, SPDP seperti parti komponen yang lain juga mempunyai calon berkelayakan serta mampu memenangi kerusi tersebut untuk Barisan Nasional (BN).

“Kami mempunyai ramai ahli berkaliber dan bersedia menjadi calon bagi memenuhi harapan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mahukan calon daripada kaum Kelabit.

“Ini sekali gus mengetepi dakwaan sesetengah pihak bahawa hanya mereka mempunyai calon boleh menang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Roland yang juga naib presiden kanan parti turut menasihati ahli parti agar turun padang dan berjumpa dengan rakyat di peringkat akar umbi untuk mendapatkan maklum balas bukannya bergantung kepada sumber lain.

Turut menyokong kenyataan Dr Roland ialah Ketua Kampung Lio Matu dan Bendahari SPDP Bahagian Miri Peter Edam yang memberitahu bahawa terdapat beberapa nama disebut-sebut, antaranya pegawai kanan kerajaan dan presiden satu organisasi.

“Bagaimanapun, nama tersebut tidak mendapat sokongan daripada rakyat di peringkat akar umbi.

“Saya percaya, rakyat perlu diberi keutamaan dalam menyuarakan pendapat kerana mereka nanti yang menentukan kemenangan pilihan raya.

“Walaupun calon tersebut seorang pegawai kanan dan memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan atau parti politik, ia bukan jaminan dia boleh menang,” kata Peter.

Peter yang merupakan kaum Kenyah berkata, beliau menyokong cadangan Dr Roland agar kerusi Mulu diberikan kepada SPDP dan berjanji untuk beri sokongan kepada sesiapa sahaja calon yang dipilih kelak.

Dalam perkembangan lain, Dr Roland menolak dakwaan bahawa pembinaan klinik baharu di Long San ditangguhkan.

Katanya klinik dan bajet sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan tanah seluas 13 ekar sudah dikenal pasti untuk pembinaan klinik tersebut.

“Projek ini perlu diteruskan memandangkan Klinik Long San yang ada sekarang kecil dan tidak mempunyai kelengkapan mencukupi.

“Jika berlaku kecemasan, pesakit perlu dibawa ke Hospital Miri yang mengambil masa empat jam melalui perjalanan darat,” katanya.

Beliau menambah, ia wajar diteruskan kerana cadangan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baram sebelum ini ditangguhkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan pada 3 November tahun lepas memberitahu, cadangan pembinaan Klinik Long San ditangguh kerana ia dikhuatiri ditenggelami air berikutan pembinaan Empangan Baram.

Sebelum ini, bekas Kaunselor Majlis Daerah Baram Anthony Lawai Karing berkata, beliau memohon klinik yang lebih besar untuk keperluan penduduk Long San sejak 1996 namun sehingga kini masih tiada penyelesaian.

Hadir sama Ketua Pemuda SPDP Robert Ayu, Pengerusi SPDP bahagian Pujut Henry Colin Belawing dan Pengerusi SPDP Long Tungan Balan Ngau.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/24/spdp-mahukan-kerusi-dun-baharu-mulu/