Sorok barang seludup dalam stor

MIRI: Helah seorang lelaki menyembunyikan rokok, mercun, bunga api dan arak seludup dalam stor di premisnya di Kampung Muhibah, Bakong, di sini terbongkar dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota kastam, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu adalah susulan maklumat risikan dan aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa penemuan 6,800 batang rokok, 174.10 kilogram mercun serta bunga api dan 149.50 liter minuman keras pelbagai jenama dipercayai di seludup masuk ke negara ini.

“Keseluruhannya, barang rampasan yang dipercayai belum lulus pemeriksaan kastam itu bernilai RM11,885.56,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Halimah berkata, siasatan awal mendapati, kesemua barang rampasan disyaki akan dijual kepada pelanggannya di kawasan setempat.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Jika didapati bersalah, individu terbabit akan didenda 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/09/608976/sorok-barang-seludup-dalam-stor